Pemandu lori dipenjara lima tahun, empat sebatan kes rogol rakan silat

TELUK INTAN – Seorang pemandu lori dihukum penjara lima tahun dengan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan rogol melibatkan seorang remaja perempuan antara Mei dan Julai tahun ini.

Hakim, Norhamizah Shaiffuddin menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh, Muhammad Zaini Mashuri, 34, menjalani hukuman secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 7 Julai lalu.

Pada masa sama, mahkamah turut mengeluarkan perintah tambahan iaitu tertuduh perlu menjalani kaunseling sepanjang tempoh penjara serta pengawasan polis selama dua tahun sebaik tamat hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa telah merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun sembilan bulan di dalam sebuah kereta di tepi Jalan Sungai Ipil, Sungai Sumun di daerah Bagan Datuk antara jam 2.20 petang sehingga jam 4 petang, Mei lalu.

Berdasarkan pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama ke atas mangsa di Ladang Bagan Datoh di daerah sama pada 3 Julai lalu antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Anisah memohon hukuman setimpal serta berbentuk pengajaran dikenakan kepada tertuduh dan memberi kesedaran kepada orang awam memandangkan kesalahan tersebut adalah serius melibatkan remaja bawah umur.

Sementara itu, tertuduh yang mendakwa mengenali mangsa melalui kelas silat yang disertai bersama memohon hukuman ringan dikenakan kerana ia adalah kesalahan pertamanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bakal pengantin dipenjara empat tahun, satu sebatan rompak arak, wang tunai

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI