Guru praktikal didakwa enam pertuduhan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki

IPOH – Seorang guru praktikal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Mifdzal Mohd Zalani Sham, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut kesemua pertuduhan dia didakwa telah melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun tiga bulan yang merupakan pelajarnya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Chakadi, di sini antara jam 1 pagi hingga 7.26 pagi, 5 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14(b) akta yang sama yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, M Raveenaa manakala tertuduh diwakili peguam, Ameer Firdaus Mohd Amir.

Terdahulu, Raveenaa tidak menawarkan jaminan kerana ia adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan menawarkan RM20,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi dan mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Ameer Firdaus ketika mengemukakan hujahan mitigasi berkata, anak guamnya bukan seorang yang berisiko melarikan diri dan bersedia memberikan kerjasama penuh sepanjang prosiding mahkamah.

Menurutnya, tertuduh adalah bekas pelajar sebuah universiti tempatan yang telah menamatkan pengajian dan kini hanya menunggu keputusan peperiksaan sebelum dipanggil menghadiri sesi temu duga sebagai guru.

Katanya, tertuduh juga berjanji akan hadir pada setiap tarikh sebutan dan perbicaraan yang ditetapkan mahkamah serta berhasrat membersihkan namanya melalui proses perundangan.

“Ayah kepada tertuduh yang menetap di Pulau Pinang hadir pada hari ini dan bersedia menjadi penjamin.

“Mangsa kini berada di Johor manakala tertuduh menetap di Pulau Pinang, jadi mustahil untuk tertuduh mengganggu saksi pendakwaan,“ katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dan menetapkan 20 Ogos ini sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lelaki OKU didakwa amang seksual terhadap pelajar perempuan di stesen bas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI