PAC akan bincang keperluan siasat pelaburan KWAP dalam eFishery – Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan membincangkan sama ada perlu menjalankan prosiding berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula eFishery, yang dikaitkan dengan dakwaan penipuan terancang.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ketika ini perkara itu belum termasuk dalam prosiding jawatankuasa berkenaan.

“Buat masa ini, kita memang sudah ada beberapa perkara yang sedang menunggu untuk kami selesaikan. (Pelaburan KWAP) mungkin kita boleh bincangkan untuk melihat sama ada PAC perlu atau tidak masuk dalam perkara itu,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis di Parlimen mengesahkan pelaburan KWAP dalam eFishery merupakan mangsa penipuan terancang susulan terdapat manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat dari Indonesia itu.

Menurut MOF, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil langkah tegas termasuk tindakan undang-undang, meneruskan usaha pemulihan dana, melaksanakan semakan tatakelola dalaman serta memperkukuh kawalan bagi melindungi kepentingan pelaburan.

Media sebelum ini melaporkan eFishery sedang disiasat susulan dakwaan penyelewengan kewangan, termasuk manipulasi penyata kewangan yang menyebabkan hasil syarikat dilaporkan lebih tinggi daripada angka sebenar.

Menurut DealStreetAsia, KWAP melabur kira-kira US$47.7 juta (RM200 juta) dalam pusingan pembiayaan Series D eFishery pada 2023.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata PAC Parlimen telah membentangkan enam penyata di Dewan Rakyat sepanjang mesyuarat kali ini yang bersidang sejak 22 Jun lalu, serta mengadakan beberapa prosiding siasatan berhubung isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 1 Tahun 2026.

Beliau berkata prosiding itu meliputi isu pengurusan kutipan yuran pelajar dan perbelanjaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) Negara serta pelaburan Pelaburan Hartanah Bhd (PHB).

Katanya, PAC telah mengadakan tujuh prosiding berhubung pengurusan UKM, lima prosiding berkaitan program R&D&C&I melibatkan beberapa kementerian dan agensi, manakala prosiding mengenai PHB telah dimulakan dan akan diteruskan minggu depan.

Mas Ermieyati berkata setiap prosiding itu berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“PAC akan terus mengemukakan syor untuk dilaksanakan oleh agensi dan memastikan tindakan susulan sewajarnya oleh pihak eksekutif demi kepentingan rakyat dan negara. Ingin ditekankan, jawatankuasa akan kekal komited dalam menjalankan fungsi PAC bagi memastikan setiap ringgit wang rakyat dibelanjakan dengan berhemah mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI