IPOH – Tiga beranak yang ditemukan maut di dalam bilik sebuah rumah di Bandar Baru Tambun di sini semalam disahkan meninggal dunia akibat kemungkinan keracunan gas karbon monoksida (probable carbon monoxide toxicity).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, punca kematian wanita berusia 46 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berusia 11 dan 12 tahun itu diperoleh hasil bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.
“Siasatan polis setakat ini masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan melengkapkan siasatan dari semua aspek.
“Sehubungan itu, kes masih diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan analisis saintifik dan laporan-laporan berkaitan bagi melengkapkan siasatan,“ katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian ini, di samping menghormati privasi dan menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa.
Terdahulu, Muhammad Najib dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 9.10 malam tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah bilik di rumah berkenaan, di samping itu sebuah bekas dipercayai mengandungi sisa pembakaran arang yang telah dibakar turut ditemui di dalam bilik tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ibu, dua anak perempuan ditemukan meninggal dunia dalam rumah


