IPOH – Op Bersepadu Khazanah yang dilaksanakan Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) yang telah merekodkan peningkatan dengan nilai rampasan sebanyak RM56.86 juta setakat 4 Ogos berbanding RM2.27 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak kira-kira RM55 juta bersamaan 2,404 peratus.
Menurutnya, jumlah kes pada tahun ini turut meningkat kepada 38 kes berbanding 17 kes pada tahun 2025.
“Dari aspek tangkapan, tahun lalu kita merekodkan 27 kes meningkat kepada 63 kes pada tahun ini 133 peratus.
“Op Bersepadu Khazanah turut melibatkan agensi-agensi sahabat seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
“Peningkatan tersebut membuktikan keberkesanan risikan secara bersepadu bersama pelbagai agensi penguatkuasaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Briged Utara PGA, Ulu Kinta di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Balveer Singh memaklumkan, jumlah keseluruhan kes di bawah PGA menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 33.68 peratus iaitu 389 kes berbanding 291 kes tahun lalu.
“Peningkatan itu turut disokong pertambahan jumlah tangkapan iaitu seramai 813 individu berbanding 672 orang pada tahun lalu, meningkat kira-kira 21 peratus.
“Kes melibatkan sekatan jalan raya (SJR) turut mencatat peningkatan apabila 75 kes direkodkan tahun ini berbanding hanya 24 kes pada tahun lalu.
“Selain itu, kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) turut meningkat daripada enam kes kepada 11 kes bagi tempoh sama,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai untuk terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga kilang proses e-waste secara haram diserbu, rampasan RM9.39 juta


