IPOH – Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta merampas 120,220 kilogram (kg) sisa elektronik (e-waste) bersama pelbagai jentera dan mesin bernilai RM9.39 juta dalam serbuan ke atas tiga kilang yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste secara haram di sekitar Ipoh, Isnin lalu.
Serbuan menerusi Op Taring E-Waste bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam yang dijalankan secara serentak itu melibatkan 28 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Briged Utara serta Batalion 18 PGA.
Operasi itu turut mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, pihak berkuasa tempatan (PBT), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Perak serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, operasi tersebut dijalankan hasil maklumat risikan selama seminggu ke atas tiga buah premis berkenaan.
Menurutnya, hasil operasi itu, pihak polis berjaya menahan dua laki warga tempatan dipercayai pengurus premis serta 12 warga Myanmar melibatkan lapan lelaki dan empat wanita yang merupakan pekerja premis berusia antara 20 hingga 50 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut telah memasang dan mengendalikan beberapa fasiliti pemprosesan e-waste tanpa notifikasi dan kelulusan daripada JAS.
“Pasukan serbuan turut menemui sejumlah besar sisa elektronik yang disimpan di dalam jumbo beg serta dilonggok di dalam dan di pekarangan tiga kilang tersebut.
“Selain itu, pemeriksaan turut menjumpai fasiliti rawatan air yang tidak teratur, sekaligus menimbulkan risiko pencemaran dan ancaman terhadap keselamatan serta kesihatan awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Briged Utara PGA, Ulu Kinta di sini hari ini.
Beliau berkata, kes telah diserahkan kepada JAS Perak untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 18(1) Seksyen 25(1), Seksyen 34A dan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Selain itu, kes tersebut turut diserahkan kepada JIM Perak untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
“LHDN juga masih menjalankan siasatan terhadap ketiga-tiga premis tersebut dan hasilnya akan dikemukakan sebaik sahaja proses selesai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Balveer Singh menegaskan bahawa aktiviti pemprosesan e-waste tanpa lesen bukan sahaja melanggar undang-undang malah memberi kesan besar terhadap alam sekitar dan masyarakat.
“Sisa elektronik yang diproses secara haram berpotensi melepaskan bahan toksik ke udara, tanah serta sumber air. Pencemaran ini boleh menjejaskan kesihatan awam melalui udara tercemar dan air yang tidak selamat,“ katanya.
Tambahnya, kesannya bukan sahaja menganggu ekosistem tetapi juga menjejaskan kesejahteraan komuniti setempat secara langsung. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kilang e-waste haram beroperasi empat tahun tumpas, rampasan RM18 juta


