TANJUNG MALIM – Penubuhan Galeri Razak Sensei di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi simbol penghargaan terhadap legasi tokoh pendidik negara, Allahyarham Datuk Abdul Razak Abdul Hamid sekali gus memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Jepun.
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Shikata Noriyuki berkata, galeri berkenaan berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara melalui pendidikan, dialog antara budaya dan nilai kemanusiaan yang diperjuangkan oleh Razak Sensei.
Menurutnya, pemilihan 6 Ogos sebagai tarikh perasmian galeri itu bertepatan dengan ulang tahun ke-81 pengeboman atom di Hiroshima yang mengorbankan ribuan nyawa, termasuk menjadi detik bersejarah yang mengubah kehidupan Razak Sensei sebagai antara mangsa yang terselamat.
“Ketika Hiroshima dibom, beliau (Razak Sensei) sedang melanjutkan pengajian di Universiti Hiroshima, namun terselamat sebelum pulang ke Tanah Melayu dan memasuki Sultan Idris Training College (SITC) pada tahun 1946.
“Keajaiban beliau terselamat daripada tragedi Hiroshima serta keberaniannya mengubah pengalaman pahit itu menjadi komitmen sepanjang hayat terhadap keamanan dan pendidikan adalah teladan yang wajar dicontohi oleh kita semua.
“Kisah kehidupan Razak Sensei mengingatkan kita bahawa pendidikan jauh melangkaui penyampaian ilmu semata-mata. Pendidikan ialah suatu kuasa yang membentuk sahsiah, menyemai rasa saling menghormati serta membina masyarakat yang aman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Galeri Razak Sensei di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dan waris Allahyarham, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifly Abdul Razak.
Shikata berkata, sekembalinya ke Tanah Melayu, Razak Sensei mendedikasikan seluruh kehidupannya kepada dunia pendidikan serta muncul sebagai antara perintis pendidikan bahasa Jepun dan pengajian Jepun di Malaysia.
“Sumbangan tokoh itu bukan sahaja melahirkan generasi pendidik dan memperkukuh hubungan akademik kedua-dua negara, malah turut menyumbang kepada pembentukan Dasar Pandang ke Timur yang sehingga kini kekal sebagai antara tonggak utama hubungan Malaysia-Jepun.
“Saya berharap pelajar, pendidik, penyelidik dan pengunjung akan memperoleh inspirasi daripada galeri ini untuk terus menghargai pendidikan, dialog antara budaya dan nilai-nilai kemanusiaan, di samping memperluaskan lagi kerjasama antara Jepun dan Malaysia pada masa hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Md Amin berkata, penubuhan galeri itu adalah hasil usaha berterusan universiti tersebut dalam mengangkat serta mendokumentasikan legasi tokoh terbabit secara sistematik menerusi wacana intelektual, projek penyelidikan dan pemeliharaan bahan sejarah.
“Usaha itu bermula menerusi Wacana Intelektual Razak Sensei pada tahun 2015 sebelum diteruskan melalui pelbagai projek penyelidikan bagi memastikan sumbangan besar Allahyarham dalam memperkukuh hubungan pendidikan dan kebudayaan antara Malaysia dengan Jepun terus dikenang.
“Hasil daripada penyelidikan tersebut, galeri ini menghimpunkan sebanyak 525 koleksi yang terdiri daripada barangan peribadi, dokumen sejarah, gambar serta artifak berharga milik Allahyarham Abdul Razak.
“Setiap koleksi yang dipamerkan menyimpan nilai sejarah yang tersendiri serta menceritakan kisah keberanian, pengorbanan dan semangat juang yang luar biasa,” jelasnya. — MG Perak
Artikel Berkaitan:


