TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneroka cadangan penubuhan hospital pakar swasta di Tanjung Malim bagi memperkukuh kemudahan kesihatan dan menyokong pembangunan bandar ilmu pada masa hadapan.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kemudahan itu bertujuan menampung keperluan kesihatan pelajar dan staf antarabangsa yang semakin bertambah bilangannya di UPSI.
Menurutnya, usaha tersebut antara perancangan strategik universiti dalam mempersiapkan kemudahan sokongan yang bersesuaian dengan perkembangan semasa dan keperluan komuniti.
“Kita sedang melihat potensi kerjasama dengan pihak hospital swasta termasuk meneliti model perniagaan yang sesuai bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
“Pada masa sama, kami turut berusaha menarik mana-mana hospital swasta, termasuk hospital pakar swasta, untuk beroperasi di Tanjung Malim atau di dalam kawasan universiti. Ketika ini, kami sedang meneliti model perniagaan yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Syarahan Budiman dan Sesi Clock Out Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Profesor Dr Abdul Talib Mohamed Hashim, di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini kelmarin.
Md Amin memaklumkan perancangan tersebut selari dengan keperluan masa hadapan apabila UPSI dan Tanjung Malim terus berkembang sebagai pusat pendidikan serta komuniti yang semakin memerlukan kemudahan sokongan berkualiti.
“Selain pembangunan kemudahan kesihatan, UPSI turut mempunyai aspirasi jangka panjang untuk membangunkan kemudahan persaraan di Tanjung Malim yang membolehkan warga universiti yang telah bersara terus kekal berhubung dengan kampus.
“Inisiatif ini termasuk cadangan pembangunan resort persaraan sebagai salah satu usaha mewujudkan komuniti pesara UPSI di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Abdul Talib atas sumbangan besar beliau sepanjang lebih 20 tahun berkhidmat di UPSI.
Katanya, Abdul Talib adalah seorang pemimpin yang mempunyai pendekatan diplomasi tinggi serta sentiasa bersedia membantu universiti dalam menjayakan pelbagai amanah.
Tambahnya, jasa dan pengorbanan Abdul Talib akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah pembangunan UPSI. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
UPSI julung kali rangkul kejuaraan UMT International Sailing Championship 2026


