TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah baharu dalam arena sukan pengajian tinggi apabila buat julung kali muncul juara pada Kejohanan UMT International Sailing Championship 2026 yang berlangsung di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, semalam.
Kejayaan itu adalah hasil kerjasama berpasukan yang diketuai oleh pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Nur Adlina Nasreen Mohd Nasri.
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kejayaan ulung itu dimanifestasikan menerusi prestasi cemerlang pasukan pelayaran UPSI, yang menewaskan beberapa pasukan universiti ternama dan berpengalaman dari dalam serta luar negara.
“Saya berasa bangga dan menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti kecekalan serta keupayaan atlet universiti itu bersaing di peringkat tertinggi.
“Kejayaan julung kali ini adalah bukti jelas bahawa atlet UPSI mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pasukan antarabangsa yang jauh lebih berpengalaman.
“Disiplin yang tinggi, percaturan strategi yang berkesan serta semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh pasukan UPSI wajar dijadikan teladan.
“Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama UPSI, malah membuktikan bahawa ‘Impossible Is Nothing’ apabila kita berusaha dengan gigih,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kejohanan antarabangsa anjuran UMT itu menghimpunkan pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara termasuk penyertaan dari Singapura dan Taiwan, sekali gus meletakkan nama UPSI sebagai antara pencabar baharu yang gerun dalam arena sukan pelayaran universiti.
Sementara itu, Pengurus Pasukan, Mohd Faiz Zabri berkata, pasukan UPSI mempamerkan konsistensi sejak peringkat awal apabila menjuarai Kumpulan B pada pusingan kelayakan dengan kutipan 14 mata.
Beliau berkata, UPSI mengesahkan kejuaraan keseluruhan selepas mengumpul 26 mata, sekali gus mengatasi cabaran sengit daripada pasukan tuan rumah, Malaysia University Sailing Team dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang meraih kedudukan naib juara dengan 24 mata.
“Wakil Singapura, Team NUS dari National University of Singapore (NUS) menduduki tempat ketiga dengan 22 mata, manakala tuan rumah, UMT Oceanus, menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan empat mata,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pelajar UPSI lakar sejarah raih tempat ketiga Kejohanan Dunia Adobe


