IPOH – Seorang warga emas yang dikatakan tinggal lebih seminggu di sebuah hentian bas berhampiran Klinik Kesihatan Greentown di Jalan Raja Musa Aziz, di sini telah diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, lelaki itu telah dibawa bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan bantuan lanjut.
Katanya, sebelum itu pihaknya mengambil maklum berkenaan perkongsian mengenai warga emas itu yang tular di media sosial baru-baru ini.
“Ketika ditemui, keadaan warga emas itu amat menyedihkan dan tidak terurus di samping pakaian dan tubuhnya dipenuhi najis serta memerlukan perhatian segera.
“Sejurus dimaklumkan, saya telah meminta JKM negeri Perak melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kinta untuk segera turun ke lokasi dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Menurut Salbiah, warga emas berkenaan kemudiannya dibawa ke PKMD Kinta dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas pada awalnya enggan memberikan kerjasama.
“Dia kemudiannya dibersihkan, diberikan pakaian yang sesuai, makanan serta keperluan asas sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan penilaian kesihatan lanjut,” jelasnya.
Beliau berkata, kebajikan warga emas berkenaan akan terus dipantau oleh pihak berkaitan dan tindakan susulan akan dilaksanakan berdasarkan kepada keperluannya.
Pada masa sama kata Salbiah, isu berkaitan dengan kebajikan masyarakat bukan tanggungjawab JKM semata-mata, sebaliknya ia memerlukan keprihatinan dan kerjasama semua pihak.
“Kebajikan masyarakat adalah tanggungjawab kita bersama. Terima kasih kepada orang awam yang prihatin dan menyalurkan maklumat.
“Kadangkala satu aduan dan satu tindakan kecil daripada kita boleh membawa perubahan besar kepada kehidupan seseorang,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


