IPOH – Identiti warga emas yang diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dikatakan tinggal lebih seminggu di sebuah hentian bas berhampiran Klinik Kesihatan Greentown di Jalan Raja Musa Aziz, di sini, masih belum dikenal pasti.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, JKM sedang meminta bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyemak identiti lelaki tersebut.
Menurut beliau, selepas diselamatkan JKM, warga emas berkenaan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi menerima rawatan lanjut.
“Jadi sekarang masih di hospital untuk mendapatkan rawatan dan kita belum dapat mengenal pasti waris sebab dia tidak mempunyai sebarang identiti di badan semasa ditemui.
“Kita juga tidak dapat memastikan sama ada beliau warga warga tempatan dan kita sedang meminta bantuan JPN untuk membuat semakan tetapi belum ada lagi keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penyerahan ‘Mock Cheque’ Program Pembolehdayaan Modal Insan Dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030 Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Salbiah berkata, JKM juga sedang mengesan identiti warga emas tersebut dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan mereka mencari waris lelaki itu.
“Kita masih belum mengenal pasti waris kerana tiada identiti pengenalan diri yang ditemui bersama warga emas berkenaan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan seorang warga emas yang dikatakan tinggal lebih seminggu di sebuah hentian bas berhampiran Klinik Kesihatan Greentown di Jalan Raja Musa Aziz, telah diselamatkan JKM.
Salbiah dalam kenyataan berkata, lelaki itu telah dibawa bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan bantuan lanjut. -MG Perak


