IPOH – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran dakwaan serius berlaku salah laku yang tular di media sosial membabitkan organisasi dan pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan itu dijalankan susulan laporan polis yang dibuat pihak PKNPk berhubung penyebaran dakwaan tersebut.
Menurutnya, setakat ini siasatan masih di peringkat awal dan pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta sedang mengenal pasti pemilik akaun TikTok yang menyebarkan dakwaan itu.
“Kita telah buka kertas siasatan di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan bersama dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kemudian untuk peralamatan bagi TikTok, kita masih lagi belum dapat maklum balas daripada SKMM. Bila terima nanti baru kita akan buat siasatan lanjut.

“Selain itu, belum ada saksi dipanggil untuk dirakam percakapan sebab kita nak tahu siapa punya, siapa pemilik akaun TikTok ini,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di pekarangan parkir Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohd Alwi berkata, polis setakat ini belum menerima sebarang laporan daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa cabul di organisasi tersebut.
Sebelum ini, tular beberapa hantaran di media sosial mengenai kononnya berlaku salah laku serta perbuatan tidak bermoral di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dadah lebih RM18,000 ditemui dalam lokap, konstabel ditahan bantu siasatan


