IPOH – Polis Perak melupuskan pelbagai jenis dadah dan ketum bernilai lebih RM4.08 juta yang dirampas sejak 2000 hingga tahun 2025.
Barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak itu akan dilupuskan kontraktor bertauliah hari ini di kawasan Taman Perindustrian Tungzen, Mukim Sungai Raia, Kampung Kepayang di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pelupusan itu membabitkan eksibit daripada 5,000 kertas siasatan yang telah selesai daripada segala prosiding mahkamah.
“Kesemua eksibit berkenaan merupakan hasil serbuan dan rampasan yang dilakukan pihak berkuasa serta telah mendapat keputusan selepas melalui proses perbicaraan di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum JSJN Perak di pekarangan parkir Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Katanya, sebanyak 16 balai polis di Perak terlibat dalam pelupusan dadah tersebut iaitu Ipoh, Taiping, Manjung, Hilir Perak, Tapah, Kuala Kangsar, Batu Gajah, Bagan Datuk, Sungai Siput, Muallim, Kampar, Gerik, Kerian, Pengkalan Hulu, Selama dan Perak Tengah.
“Antara dadah yang akan dilupuskan ialah heroin sebanyak 8,144.22 gram dan 524 mililiter, ganja (2,797.31 gram), syabu (39,288.47 gram dan 20.95 mililiter), ketamin (120.55 gram) serta ekstasi (65.81 gram),” ujarnya.
Tambahnya, turut dilupuskan ialah yaba sebanyak 20,302.17 gram, erimin5 sebanyak 201.83 gram dan 0.30 mililiter, kafien (0.86 gram), ubat batuk (22,465.49 mililiter), daun ketum (282,700 gram) serta cecair ketum sebanyak 2,339,648 mililiter. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis Perak rampas pelbagai jenis dadah bernilai RM46.32 juta


