IPOH – DAP menegaskan komitmen untuk menolak politik usang yang berasaskan persepsi dan sentimen, sebaliknya memberi tumpuan kepada pendekatan politik baharu yang membina serta berteraskan kepentingan rakyat dan pembangunan negara.
Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming berkata, perjuangan politik sememangnya tidak mudah dan memerlukan keberanian untuk menghadapi pelbagai cabaran serta risiko.
“Perjuangan politik di Malaysia memang penuh dengan berbagai liku-liku dan memang perlu mengharungi pelbagai cabaran.
“Jika kita tak berani menghadapi cabaran, kita tak boleh jadi seorang pejuang untuk rakyat. Sebab itu bagaimana susah pun, DAP akan tetap mara ke depan bersama seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada akan Malam DAP Perak di Dewan Sekolah Menengah Shen Jai di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengarah Pilihan Raya DAP, Wong Kah Woh; Naib Pengerusi DAP Perak merangkap Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan serta barisan kepimpinan DAP Perak.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, pendekatan politik baharu perlu membawa mesej perpaduan dan kebersamaan kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, selain memastikan politik menjadi wadah untuk berkhidmat kepada rakyat serta membina masa depan Malaysia.
Pengerusi DAP Perak itu berkata, hala tuju politik negara perlu bergerak ke arah pembinaan Malaysia yang lebih dihormati di peringkat antarabangsa, bukannya terperangkap dalam permainan persepsi dan sentimen yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.
“Negara ini tidak boleh lagi hidup dengan politik toksik yang terlampau usang. Kita nak pastikan politik baharu yang membina, bukan politik usang yang membinasa.
“Politik baharu sepatutnya untuk berbilang kaum, Melayu, Cina, India, untuk Iban, Kadazan-Dusun seperti yang saya selalu laungkan, kita satu keluarga, kita sanak-saudara.
“Selain itu, politik sepatutnya berkhidmat kepada rakyat, membina negara, memastikan Malaysia disanjungi, dihormati, dan juga disenangi di pentas dunia.
“Bukan politik usang yang tiap-tiap hari main persepsi, tiap-tiap hari main sentimen. Tak payah berkhidmat, tak payah kerja, asalkan main sentimen. Itu adalah politik usang yang membinasa yang patut kita tolak ke tepi,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
DAP kekal dalam kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen


