TANJUNG MALIM – Pasukan ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026 yang berlangsung semalam.
Dalam perlawanan itu, UPSI berjaya menundukkan skuad ragbi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan keputusan 17-12 dalam aksi final yang berlangsung di Padang B, Universiti Malaya (UM).
Kapten pasukan ragbi UPSI, Muhammad Nazri Mohd Khalid berkata, kejayaan itu disifatkan sebagai sesuatu yang membanggakan apabila pasukannya sebelum itu ketinggalan mata 0-12 pada separuh masa pertama sebelum bangkit dengan permainan lebih tersusun dan berdisiplin selepas rehat.
Katanya, perubahan corak permainan pada separuh masa kedua membolehkan UPSI menguasai momentum perlawanan, sekali gus menghasilkan kebangkitan yang membawa pasukan itu kepada kemenangan sulung dalam penampilan di SUKIPT kali ini.
“Semangat juang dan kesungguhan seluruh pasukan sebagai antara faktor utama kejayaan berkenaan. Pasukan berjaya memperbaiki kelemahan selepas separuh masa pertama dengan meningkatkan komunikasi serta keserasian antara pemain.
“Alhamdulillah, prestasi pasukan sangat baik. Saya percaya semua rakan mampu memberikan yang terbaik dan sebagai kapten saya cuba beri semangat kepada semua untuk merangkul pingat emas SUKIPT kali ini,” katanya.
Menurut beliau, masalah komunikasi dan kurang keserasian dalam kalangan pemain pada separuh masa pertama menyebabkan skuad ragbi UPSI gagal mempamerkan permainan terbaik pada awal perlawanan.
Walau bagaimanapun kata Muhammad Nazri , semangat tidak mudah mengalah pasukannya menyaksikan skuad ‘UPSI Eagles’ kemudiannya kembali bangkit dengan lebih yakin selepas rehat untuk mengubah kedudukan perlawanan.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menyifatkan kejayaan manis itu sebagai hadiah untuk warga UPSI sekali gus menjadi pembakar semangat kepada semua atlet yang sedang berjuang sepanjang SUKIPT berlangsung.
“Pemain kita berjuang di padang dengan semangat dan jiwa UPSI yang kita terapkan demi terus mencipta kecemerlangan universiti yang tersohor ini,” ujarnya.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga kategori lelaki, Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya meraih pingat gangsa selepas menewaskan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Sementara itu, bagi kategori wanita, Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul juara selepas menewaskan Politeknik Malaysia 14-5, manakala UPSI meraih pingat gangsa pada aksi menentang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). – MG Perak
Artikel Berkaitan:


