Ekonomi negara perlu diurus berteraskan amanah, ilmu – Khutbah Jumaat Perak

IPOH – Pengurusan ekonomi negara perlu dilaksanakan berasaskan amanah, ilmu dan perancangan menyeluruh bagi memastikan kekayaan serta sumber negara dapat dimanfaatkan secara berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi khutbah Jumaat menegaskan kekuatan ekonomi sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada tahap kekayaan, sebaliknya turut dipengaruhi kebijaksanaan serra kecekapan dalam menguruskan sumber yang dimiliki.

Menurut teks berkenaan, ini kerana perbendaharaan negara merupakan amanah yang perlu dipertanggungjawabkan dan bukannya milik peribadi mana-mana pihak.

“Ekonomi yang kukuh hendaklah berteraskan amanah. Perbendaharaan negara bukan milik peribadi seseorang, tetapi amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

“Setiap peruntukan, setiap sumber dan setiap keputusan hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, bebas daripada rasuah, penyelewengan, pembaziran dan kepentingan peribadi,” katanya.

Teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Mengurus Ekonomi Negara – Mengambil Iktibar Surah Yusuf’ itu dibacakan di semua masjid dan surau diri Jumaat Perak.

Khutbah jumaat Perak itu menjadikan kisah Nabi Yusuf AS sebagai pedoman dalam membentuk sistem pengurusan ekonomi yang mampu menghadapi ketidaktentuan dan kegawatan.

Menurutnya, ketika berdepan ancaman kemarau, Nabi Yusuf AS tidak hanya memberi tumpuan kepada pengurusan bekalan makanan, sebaliknya merangka sistem yang membolehkan Mesir menghadapi tujuh tahun kemarau.

Katanya lagi, melalui perancangan yang teratur, negara itu bukan sahaja mampu memenuhi keperluan sendiri, malah membantu masyarakat dari kawasan sekitarnya yang turut berdepan kesukaran.

“Kisah Nabi Yusuf AS menunjukkan kegawatan telah ditafsirkan sebagai cabaran untuk memperbaiki sistem ekonomi yang diurus berteraskan ilmu, amanah dan perancangan yang tepat.

“Baginda tidak menunggu musibah berlaku; tetapi mengenal pasti ketidaktentuan, membuat unjuran, merancang simpanan makanan dan mengurus sumber secara berperingkat,” ujarnya.

Pada masa sama, JAIPk menerusi teks khutbah itu turut menggariskan empat prinsip utama yang boleh dijadikan pedoman dalam pengurusan ekonomi negara, antaranya kepentingan melantik pemimpin yang mempunyai sifat amanah serta berilmu.

Menurutnya, amanah tanpa ilmu boleh melemahkan sistem pengurusan, manakala ilmu tanpa amanah pula boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

Selain itu, katanya lagi, perancangan ekonomi yang menyeluruh dan bersepadu perlu diberi perhatian melalui pengurusan pengeluaran, penyimpanan serta penggunaan sumber secara berhemah bagi menjamin kestabilan ketika berdepan kesukaran.

Tambah teks itu, masyarakat juga diseru supaya mengamalkan prinsip beringat sebelum musibah berlaku dengan membuat persediaan awal ketika berada dalam keadaan makmur.

“Lebihan hasil disimpan untuk menghadapi musim kesukaran. Prinsip perancangan dan pengurusan ekonomi yang bijaksana dapat diterapkan dalam suasana semasa, melalui penyimpanan bekalan makanan, pengukuhan sektor pertanian dan sebagainya,” jelasnya.

Pada masa sama, teks khutbah Jumaat turut menyeru agar rakyat juga mempunyai tanggungjawab dalam menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara dengan mengamalkan sikap berhemat dan mengelakkan pembaziran.

“Gunakan wang, sumber dan kemudahan secara bijaksana, berbelanja mengikut keperluan serta kemampuan, di samping membuat pertimbangan yang teliti sebelum berbelanja,” menurut khutbah itu. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.9 peratus suku kedua 2026

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI