Peluang kedua cetus minat pelajar dalam bidang STEM

TANJUNG MALIM Pelajar yang memperoleh keputusan kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ada kalanya bukan tidak berminat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), tetapi memerlukan peluang kedua untuk membuktikan kemampuan mereka.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah berkata, kelonggaran syarat kemasukan ke program tertentu membuktikan ramai anak muda sebenarnya berminat terhadap bidang teknologi dan kejuruteraan.

Menurutnya, pengambilan sesi 1 2026/2027 ke politeknik merekodkan 32,000 pelajar berbanding kapasiti asal 24,000 tempat.

“Ini menunjukkan bahawa pelajar-pelajar bukannya tidak minat, tetapi mungkin tidak diberi peluang kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Festival of STEM 2026 (FOS’26) yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairuddin Abu Hanifah di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), di sini hari ini.

Shamsuri berkata, perbincangan bersama Lembaga Jurutera Malaysia membolehkan syarat kemasukan program tertentu, termasuk Diploma Kejuruteraan Elektrik, dilonggarkan daripada kredit kepada sekadar lulus.

“Langkah itu menyaksikan kemasukan ke sembilan program berkaitan elektrik meningkat lebih empat kali ganda, daripada kira-kira 1,000 kepada lebih 5,000 pelajar.

“Ini menunjukkan bahawa anak-anak kita bukan tidak minat STEM, tetapi tidak cukup kelayakan. Jadi kita memberi mereka peluang kedua,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelajar yang diterima melalui kelonggaran syarat perlu mengikuti Matematik pemulihan (Remedial Mathematics) pada semester pertama dan diwajibkan lulus.

“Pada tahun lepas kesemua lebih 1,000 pelajar yang mengikuti program itu semuanya lulus dan tiada yang gagal.

“Bila diberikan peluang kedua, dengan dorongan, motivasi daripada pensyarah, mereka boleh terus maju dalam bidang teknologi dan kejuruteraan,” katanya.

Sementara itu, FOS’26 mendapat penyertaan lebih 400 peserta menerusi aktiviti kuiz, pertandingan inovasi dan penghasilan robot.

“Ini akan merangsang minat mereka terhadap bidang STEM, seterusnya mereka boleh menceburi kerjaya dalam bidang teknologi dan kejuruteraan,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

FOS’26 perkasa pemahaman masyarakat terhadap STEM, TVET

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI