61 pelajar sekolah berasrama di Perak alami gejala Influenza A

IPOH – Seramai 61 pelajar sebuah sekolah berasrama di Perak menjalani saringan dan penilaian kesihatan selepas dikesan mengalami gejala berkaitan Influenza A sejak kelmarin.

Exco Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan berkata, kejadian itu dikendalikan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dengan siasatan epidemiologi sedang dijalankan bagi mengenal pasti pola penularan serta faktor risiko berkaitan.

Menurutnya, seramai 57 pelajar bergejala dibawa secara serentak ke sebuah klinik kesihatan berhampiran jam 12.08 tengah hari kelmarin menggunakan bas sekolah tanpa pemakluman awal.

“Sebahagian pelajar yang dibawa ke klinik berkenaan juga didapati tidak membawa dokumen pengenalan diri masing-masing.

“Situasi ini telah menjejaskan kelancaran pengurusan pesakit di klinik berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, Pasukan Bersepadu Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta bersama klinik kesihatan berkenaan digerakkan ke sekolah pada jam 2 petang bagi menjalankan pemeriksaan dan saringan kesihatan secara berpusat.

Katanya, pasukan berkenaan terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan, seorang pembantu perawatan kesihatan, seorang pegawai farmasi, seorang anggota Pasukan Kawalan dan Pencegahan Infeksi serta tiga anggota Unit Survelan PKD Kinta.

Dalam perkembangan sama, Sivanesan berkata, pihak sekolah melaporkan tambahan 27 pelajar bergejala pada jam 8 pagi semalam, namun penyelarasan semula dibuat bagi memastikan proses penerimaan, saringan dan penilaian pesakit berjalan teratur.

“Walaupun sekolah telah dinasihatkan supaya membawa pelajar bergejala secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan di klinik, mereka memaklumkan hasrat untuk membuat pergerakan menggunakan sebuah bas milik sekolah.

“Sebanyak 12 orang pelajar bergejala tambahan turut dikenal pasti, menjadikan keseluruhan 39 orang pelajar menjalankan penilaian kesihatan semalam,” ujarnya.

Beliau berkata, penilaian yang selesai jam 1 petang itu mendapati kesemua pelajar berada dalam keadaan stabil.

“Daripada keseluruhan 61 pelajar yang menjalani saringan dan penilaian kesihatan, seramai 46 orang didiagnosis dengan Influenza-Like Illness (ILI), 14 orang dengan Upper Respiratory Tract Infection (URTI) dan seorang lagi mengalami konjunktivitis.

“Enam pelajar turut menjalani pengambilan sampel nasopharyngeal swab (NPS) untuk ujian makmal.

“Berikutan itu, PKD Kinta meneruskan siasatan epidemiologi bagi mengenal pasti pola penularan, bilangan kes, kontak serta faktor risiko yang berkaitan.

“Pemantauan kes baharu dalam kalangan warga sekolah turut diteruskan dari semasa ke semasa,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

30 warga emas terima vaksin influenza percuma di Malim Nawar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI