PARIT BUNTAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Hospital Parit Buntar di sini, hari ini.
Keberangkatan baginda pada jam 11 pagi diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Turut berangkat, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama mengiringi baginda Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubir; barisan Exco Kerajaan Perak; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha.
Majlis dimulakan dengan lagu kebesaran negeri Perak diikuti bacaan ayat al-Quran dan doa sebelum Sultan Nazrin menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak perasmian klinik berkenaan di atas pentas utama.
Kemudian majlis diteruskan dengan tayangan montaj sebelum baginda melawat ke reruai pameran.

Sementara itu, Dzulkefly dalam sembah ucapannya berkata, hospital bernilai RM173.3 juta yang dibina atas tanah seluas 5.594 hektar siap sepenuhnya pada 23 Julai tahun lalu.
Menurutnya, hospital tersebut memberi manfaat kepada 170,000 penduduk sekitar daerah Kerian serta mempunyai kendudukan geografi strategik kerana bersempadan secara langsung dengan Pulau Pinang dan Kedah
Tambahnya, Hospital moden yang mula dibina pada 2018 itu menempatkan enam blok bangunan setinggi tiga tingkat dengan kapasiti 76 katil, dilengkapi dua dewan bedah serta pelbagai perkhidmatan pakar termasuk perubatan, pediatrik, ortopedik dan obstetrik dan ginekologi mula beroperasi pada 3 September tahun lalu.
“Hospital Parit Buntar terus diperkasakan sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan dalam menyokong visi Perak Sejahtera 2030 serta memastikan kelangsungan dan kesejahteraan rakyat.
“Selain itu ia, dilengkapi enam blok bangunan dengan kapasiti 76 katil, merangkumi Wad Lelaki, Wad Perempuan, Wad Kanak-Kanak, Wad Bersalin dan High Dependency Unit (HDU).

“Dewan Bersalin pula mempunyai enam bilik bersalin serta sebuah observation bay dengan tiga katil, selain kemudahan Respiratory and Hemodynamic Unit (RHU), Pregnancy Assessment Center (PAC) dan dua Dewan Bedah moden.
“Sebagai nilai tambah, Dewan Bersalin hospital ini turut dilengkapi dengan enam buah bilik bersalin serta sebuah observation bay yang mempunyai tiga buah katil,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, keupayaan klinikal hospital ini turut diperkasakan menerusi penyediaan Respiratory and Hemodynamic Unit (RHU), Pregnancy Assessment Centre (PAC) serta dua (2) buah Dewan Bedah moden dan salah satunya telah mula beroperasi pada 3 April 2026.
“Selain perkhidmatan kecemasan yang telah distruktur semula mengikut zon rawatan terkini, hospital ini turut menawarkan perkhidmatan sokongan klinikal yang menyeluruh, merangkumi klinik pakar, hemodialisis, pengimejan dan diagnostik, patologi dan transfusi serta farmasi,” katanya.
Katanya, seorang Pakar Perubatan Dalaman dan seorang Pakar Perubatan Kecemasan turut ditempatkan di hospital ini bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kepakaran dan rawatan yang sewajarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dua hospital bakal dibuka di Perak tahun ini


