IPOH – Kerajaan Negeri Perak yakin pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mampu mengubah kilauan pingat dalam acara 100 meter (m) lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun minggu ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, prestasi semasa atlet berusia 22 tahun kelahiran Teluk Intan itu juga difahamkan berada pada tahap baik untuk menghadapi temasya sukan berkenaan.
Menurutnya, pencapaian Muhammad Azeem meraih gangsa dalam acara 100m pada Sukan Asia Hangzhou 2023 menjadi asas kepada harapan untuk melihat atlet berkenaan mengubah kedudukan di podium dengan lebih baik pada kali ini.
“Daripada gangsa ke emas, itu harapan kitalah. Malah, saya yakin beliau turut memperoleh motivasi tambahan selepas menjadi pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara pada acara pembukaan Sukan Asia tempoh hari.
“Itu merupakan satu motivasi yang cukup baik kerana bukan senang untuk menjadi seorang atlet yang diberi tanggungjawab membawa Jalur Gemilang dalam upacara perasmian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media mengenai penganjuran Program Jelajah AIM TVET with Cikgu Din peringkat daerah Perak Tengah, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Ahmad Sabri Abdul Ghani; Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Aldrin Ng serta Pengarah Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman.
Dalam pada itu Khairudin berkata, berkata seramai kira-kira 33 atlet dari Perak kini berada di Jepun bagi mewakili Malaysia dalam temasya sukan yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober itu.
Ujar beliau, selain sukan individu seperti olahraga yang menampilkan Muhammad Azeem, sebahagian besar atlet berkenaan menyertai acara berpasukan termasuk hoki, kriket dan ragbi.
“Kita mengharapkan semua atlet Negeri Perak yang bertanding di Sukan Asia di Jepun ini dapat mempamerkan aksi yang baik dan ada yang dapat membawa pingat untuk negara.
“Seperti lazimnya, kalau mereka dapat pingat, kerajaan negeri akan memberi inisiatif-inisiatif tertentu berdasarkan keputusan dan kelulusan yang telah diluluskan,” katanya lagi.
Khairudin berkata, pihaknya turut memantau perkembangan atlet Perak yang masih beraksi dalam peringkat awal pertandingan, khususnya bagi acara berpasukan.
Beliau juga berharap agar semua atlet berkenaan dapat terus mempamerkan semangat kesukanan tinggi dan memberikan aksi terbaik bagi membantu kontinjen negara memburu pingat di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sukan Asia: Adeola sumbang emas pertama Malaysia


