KUALA KANGSAR – Polis menahan dua ahli keluarga mangsa yang dipercayai terlibat dalam kes seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) yang ditemukan maut di sebuah rumah di Kampung Cheh, Kati, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.38 petang.
Menurutnya, ahli keluarga menemui mangsa berusia 49 tahun itu berada dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah di ruang tamu rumah sekitar jam 2.15 petang sebelum menghubungi polis memaklumkan kejadian tersebut.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Taiping bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu polis menahan dua lelaki serta menemui sebilah pisau yang disyaki digunakan sebagai senjata dalam kejadian tersebut.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.
“Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,“ ujarnya.
Sehubungan itu, Heisham meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintenden Mohamad Fadhil Ab Wahab dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di talian 019-7272033 atau Bilik Gerakan IPD Kuala Kangsar di talian 05-7762222.
Terdahulu, media melaporkan seorang suri rumah OKU lembam ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tusukan di bahagian betis di kediamannya di Kampung Cheh, Kati, di sini pada Rabu.
Mangsa, Nor Ainon Omar, 49, ditemui di rumah kampung yang didiaminya bersama suami dan tiga anak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga pelajar IPTS warga asing ditahan susulan kes bunuh lelaki


