GOPENG – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak akan memberi perhatian terhadap aspek keselamatan bangunan, premis dan fasiliti di bawah seliaan masing-masing bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam nyawa orang awam berulang.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, penilaian serta penyelenggaraan aset PBT perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap keselamatan sentiasa diberi keutamaan.
“Keselamatan sentiasa menjadi antara perkara utama di peringkat PBT, sama ada melibatkan bangunan mahupun apa-apa fasiliti dan aset di bawah jagaan PBT.
“Jadi, penyelenggaraan dan penilaian perlu dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan faktor keselamatan sentiasa dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Hari Cuci Malaysia Peringkat Negeri Perak 2026 di Bandar Pulai Jaya, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Parlimen Gopeng, Tuan Tan Kar Hing; Pegawai Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori serta Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah, Mohamad Razif Ramli.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang lelaki berusia 29 tahun yang maut dipercayai terjatuh dari bangunan Pasar Besar Ipoh di Jalan Laksamana, Ipoh, Rabu lalu.
Shy Ching berkata, pihaknya akan meneliti laporan siasatan pihak berkuasa berhubung kejadian berkenaan sebelum menentukan sebarang tindakan susulan yang bersesuaian.
“Kita akan bekerjasama dengan pihak polis dan menunggu laporan siasatan kejadian berkenaan sebelum mengambil tindakan yang sepatutnya.
“Sekiranya ia melibatkan kemalangan atau insiden lain, kita perlu melihat apakah faktor yang perlu dipertingkatkan atau diambil kira dari segi bangunan supaya langkah pencegahan dapat dibuat bagi meningkatkan aspek keselamatan pada masa akan datang,” katanya.
Mengulas tentang perkembangan Jambatan Victoria di Kuala Kangsar, Shy Ching memberitahu, projek penambahbaikan infrastruktur ikon pelancongan itu masih menunggu laporan menyeluruh serta kelulusan peruntukan.
Kata beliau, permohonan telah dikemukakan di peringkat kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), termasuk cadangan pemasangan jaring keselamatan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengunjung.
“Untuk Jambatan Victoria, kita masih menunggu laporan yang menyeluruh dan peruntukan untuk tindakan seterusnya, namun peruntukan itu belum diterima.
“Permohonan dibuat melalui peringkat negeri dan KPKT, antaranya bagi menambah net serta meningkatkan aspek keselamatan di jambatan berkenaan,” katanya.
Terdahulu, lokasi pelancongan bersejarah itu ditutup sementara susulan kejadian kanak-kanak maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter, Ogos lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


