IPOH – Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan dua inisiatif baharu bagi memperkukuh usaha menangani isu bunuh diri dan kecederaan maut di negara ini
Dua inisiatif berkenaan ialah Sistem Registri Bunuh Diri dan Kematian Fatal Kebangsaan (NSFIRM) dan Garis Panduan Perkhidmatan Postvention (Panduan Klinikal).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, NSFIRM dibangunkan dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) dan Jabatan Perubatan Forensik bagi membekalkan data berkaitan kecederaan maut, termasuk kes bunuh diri dan kecederaan maut akibat faktor lain seperti kemalangan kenderaan motor (MVA).
“Pengumpulan data ini akan memudahkan analisa dan pemantauan trend kejadian secara lebih sistematik dan data yang tepat boleh digunakan bagi merancang polisi, program dan perkhidmatan yang lebih bersasar dengan keperluan sebenar di lapangan,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis peluncuran NSFIRM dan Garis Panduan Pelaksanaan Perkhidmatan Postvention sempena sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di di Dewan Utama Kolej Poly-Tech Mara Ipoh, di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan dan Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, menyentuh mengenai Garis Panduan Perkhidmatan Postvention, ia dibangunkan bagi memperkukuh pelaksanaan sokongan psikososial dan intervensi selepas berlakunya insiden bunuh diri.
“Garis panduan itu memberi tumpuan kepada sokongan terhadap individu yang terkesan selepas kejadian, termasuk ahli keluarga, pasangan, rakan sekerja, rakan dan komuniti.
“Kumpulan berkenaan turut berdepan kesan psikososial susulan kejadian bunuh diri dan sebelum ini sering dirujuk sebagai ‘second victim‘,“ ujarnya.
Katanya, garis panduan yang jelas dan komprehensif itu sangat penting untuk difahami sebagai sebahagian daripada usaha menangani fenomena bunuh diri dan tingkah laku berkaitan bunuh diri.
“Kedua-dua inisiatif ini saling melengkapi dan menandakan langkah penting dalam memperkukuh sistem sokongan dan respons negara terhadap pencegahan tingkah laku bunuh diri,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


