IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diminta segera menyiasat dakwaan tular mengenai kewujudan sebuah sekolah untuk etnik Rohingya yang beroperasi di sebuah bangunan terbiar di sekitar Jalan Lahat, di sini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, siasatan perlu dilakukan susulan dakwaan berkenaan, selain tindakan boleh diambil sekiranya premis terbabit digunakan tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, agensi berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) juga boleh mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran terhadap peraturan ditetapkan.
“Sebab pertama jika mana-mana entiti yang membuka sekolah, pertama kena ada lesen. Lesen daripada KPM kalau sekolah swasta, maknanya ada lesen daripada itu.
“Yang kedua, untuk membolehkan dapat lesen, ia kena terlebih dahulu membuktikan mendapat kebenaran penggunaan premis.
“Ketiganya ialah ada kebenaran bertulis daripada MBI yang membolehkan bisnes itu ataupun aktiviti itu dijalankan di premis berkenaan. Kalau tidak, itu tak sah.

“Jadi MBI boleh mengambil tindakan. Kalau betul ada laporan itu MBI kena tak payah tunggu instruction (arahan) dia boleh pergi tengok,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan berhubung kewujudan sekolah berkenaan yang tular di media sosial.
Sebelum ini, tular satu video berdurasi lima minit 24 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok mencetuskan perhatian apabila memaparkan seorang individu melakukan tinjauan di sekitar sebuah bangunan yang didakwa digunakan sebagai sekolah khusus untuk komuniti Rohingya di Ipoh.
Menerusi rakaman itu, premis tersebut didakwa telah dijadikan sekolah sejak kira-kira lima tahun lalu dan terletak di sebuah bangunan terbiar yang dikatakan sedang ditawarkan untuk dijual, berdasarkan kain rentang iklan yang dipasang pada struktur berkenaan.
Rakaman tersebut juga memaparkan dakwaan mengenai kewujudan beberapa perniagaan yang dikendalikan komuniti Rohingya di kawasan itu yang dikatakan agak terlindung daripada pandangan umum, antaranya premis gunting rambut.
Turut dirakam ialah keadaan sekitar perkarangan sebuah asrama di Jelapang yang dikatakan menempatkan komuniti Rohingya, dengan kawasan terbabit didakwa dipenuhi sampah. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Isu Rohingya: Serah pada polis, jangan bertindak sendiri


