Dakwaan buli, murid dipukul guru: PPD, sekolah sudah laksana prosedur sewajarnya

IPOH – Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah telah melaksanakan prosedur ditetapkan serta mengadakan perbincangan bersama keluarga mangsa berhubung kes buli dan dakwaan murid dipukul guru yang dilaporkan berlaku di Chemor dan Pengkalan Hulu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairuddin Abu Hanipah berkata, proses berkenaan termasuk perbincangan dan permuafakatan antara pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.

Menurutnya, beliau difahamkan pertemuan antara PPD, pihak sekolah dan keluarga murid telah diadakan, malah jalan penyelesaian turut dicapai menerusi proses berkenaan.

“Dari segi proses yang perlu dilaksanakan oleh PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), semuanya telah pun dilaksanakan dan saya difahamkan telah berlaku permuafakatan antara pihak PPD, sekolah dan keluarga murid.

“Juga, telah ada jalan penyelesaian dan kita berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Negeri Perak di pekarangan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Mohd Nizam Ismail.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, bagaimanapun pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut susulan laporan polis yang dibuat keluarga murid berhubung kejadian terbabit.

Beliau berkata, pihak sekolah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi, termasuk membuat laporan sekiranya berlaku kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan atau kesihatan murid.

“Apabila laporan polis dibuat, perkara itu akan diserahkan kepada polis untuk disiasat dan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran, tindakan selanjutnya akan diambil oleh pihak berkuasa,” jelasnya.

Bagaimanapun Khairuddin berkata, pihaknya tidak mahu mengulas lanjut mengenai kes berkenaan kerana proses siasatan polis perlu dihormati, termasuk bagi mendapatkan penjelasan berhubung laporan yang dibuat selepas kejadian berlaku.

Dalam pada itu, beliau berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada proses siasatan untuk berjalan dan memastikan kebajikan serta kepentingan murid terus terpelihara.

“Paling penting bagi saya, anak-anak ini dapat belajar dalam keadaan aman dan tenteram serta menduduki peperiksaan dengan sewajarnya,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang lelaki mendakwa anak lelakinya berusia 11 tahun dicederakan secara fizikal oleh seorang guru di sebuah sekolah di Pengkalan Hulu pada 23 September lalu.

Dalam kejadian berasingan, seorang wanita mendakwa dua anaknya menjadi mangsa buli rakan dan kekerasan guru di sebuah sekolah menengah agama di Chemor dalam dua kejadian pada Julai dan Ogos lalu, selain memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Ibu tunggal tuntut keadilan, dakwa dua anak lelaki jadi mangsa buli, pukul di sekolah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI