Jerebu: Penangguhan UPKK, SPM diteliti jika perlu – Exco

IPOH – Sebarang keputusan berhubung kemungkinan penangguhan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) susulan keadaan jerebu akan diteliti oleh agensi berkaitan sekiranya keadaan semasa memerlukan tindakan sedemikian.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, setakat ini, sesi persekolahan di negeri itu berjalan seperti biasa susulan penurunan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di empat stesen pemantauan.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turut mengeluarkan status terkini IPU bagi bandar-bandar di Perak setiap hari bagi memantau perkembangan keadaan jerebu.

“Sudah pasti perkara ini akan diperhalusi oleh pihak-pihak agensi terlibat, contohnya Kementerian Pendidikan (KPM), JPN, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang menguruskan UPKK.

“Kalau ada keperluan untuk menangguhkan peperiksaan tersebut, mungkin perkara itu akan diperbincangkan secara kolektif oleh pihak-pihak tertentu supaya pelaksanaannya tidak akan menyebabkan ketidakhadiran anak-anak murid untuk mengikuti peperiksaan ini.

“Kita lihat dari segi IPU di negeri Perak ini semakin baik, dan kita berdoalah supaya proses UPKK, SPM dan sebagainya dapat berjalan dengan lancar khususnya untuk tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan program Himpunan Mahabbah Pendekar Perak 2026 di Dewan Utama, Kompleks Belia dan Sukan Perak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khairudin berkata, semua sekolah perlu mematuhi pekeliling KPM yang melarang pelaksanaan aktiviti luar sepanjang keadaan jerebu.

“Dari segi pekeliling dikeluarkan oleh KPM, memang pihak sekolah tidak dibenarkan menjalankan aktiviti luar, contohnya kokurikulum, perkhemahan dan sukan.

“Cuma proses pembelajaran berada dalam kelas dan aktiviti pengajaran yang lain pun berada dalam kelas. Nak buat program macam motivasi pun dalam kelas, tak boleh nak buat luar dan sebagainya,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPM kembali ikut pelan jerebu kebangsaan, sekolah tutup apabila IPU 200

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI