PERTUMBUHAN ekonomi Perak yang memberangsangkan perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan isi rumah, peluang pekerjaan dan taraf hidup rakyat, termasuk masyarakat di pekan kecil serta kawasan luar bandar, selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Keupayaan sesebuah negeri mencatat pertumbuhan ekonomi yang tinggi tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka keluaran dalam negeri kasar (KDNK) semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira sejauh mana manfaat pembangunan dapat dinikmati masyarakat secara menyeluruh.
Ini kerana kejayaan pembangunan bukan sekadar diukur berdasarkan kekayaan yang mampu dihasilkan, tetapi juga jumlah rakyat yang berpeluang menikmati kehidupan lebih baik hasil pertumbuhan berkenaan.
Pertumbuhan ekonomi negeri perlu membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan keluarga dan membantu rakyat menghadapi cabaran kehidupan seharian.
Perak merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.7 peratus pada 2025 dengan nilai KDNK mencecah RM91.5 bilion, mengatasi pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.2 peratus.

Pencapaian itu mencerminkan perkembangan positif ekonomi negeri, namun cabaran seterusnya adalah memastikan momentum berkenaan memberikan kesan lebih meluas terhadap kesejahteraan masyarakat.
Hal ini kerana pertumbuhan ekonomi pada peringkat negeri tidak semestinya menggambarkan keadaan ekonomi yang sama bagi setiap isi rumah, khususnya mereka yang bergantung pada kegiatan ekonomi berskala kecil dan sumber pendapatan tidak tetap.
Bagi masyarakat luar bandar, peluang pekerjaan yang bersesuaian, akses kepada pasaran dan ruang mengembangkan perniagaan merupakan antara faktor yang mempengaruhi keupayaan mereka meningkatkan pendapatan.
Justeru, pembangunan ekonomi perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan pertambahan nilai pengeluaran atau aktiviti pelaburan, tetapi juga peluang yang diwujudkan untuk penduduk setempat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Karnival Perak Bersih dan Sihat (Perak BEST), Siri Jelajah Lestari NCER 2026 di Padang Astaka, Lenggong baru-baru ini mengatakan angka pertumbuhan yang tinggi tidak membawa makna yang besar sekiranya rakyat tidak turut merasai manfaatnya.

“Pertumbuhan ekonomi hanya benar-benar bermakna apabila ia membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan keluarga dan membantu rakyat menghadapi cabaran kehidupan seharian.
“Sebab itu, Kerajaan Negeri mahu memastikan kemajuan yang sedang kita bina tidak hanya tertumpu di bandar-bandar besar, tetapi turut sampai ke pekan kecil dan kampung-kampung, termasuk di daerah Lenggong ini,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri mahu lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, lebih ramai anak muda mendapat peluang membina masa depan, dan lebih banyak keluarga mempunyai ruang untuk meningkatkan pendapatan serta memperbaiki kehidupan mereka.
“Kerana pada akhirnya, kejayaan pembangunan bukan sekadar tentang berapa banyak kekayaan yang mampu kita hasilkan, tetapi berapa ramai rakyat yang dapat kita bantu menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Pendekatan ini seiring dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai sebahagian daripada hala tuju pembangunan negeri.
Dalam konteks tersebut, pertumbuhan ekonomi perlu menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti hidup, bukannya sekadar pencapaian dalam bentuk angka yang tidak menggambarkan keadaan sebenar masyarakat.Selain mewujudkan peluang ekonomi, pembangunan modal insan turut menjadi elemen penting bagi memastikan rakyat mampu merebut pekerjaan dan peluang perniagaan yang muncul seiring perubahan ekonomi.
Saarani berkata, dunia pekerjaan kini berubah dan kelulusan akademik sahaja tidak lagi mencukupi tanpa kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri.
Sehubungan itu, kerajaan negeri terus memberikan perhatian kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi agenda Koridor TVET Perak.

Menurutnya, usaha itu bertujuan membuka lebih banyak laluan kepada anak muda untuk mendapatkan latihan kemahiran dan seterusnya merebut peluang pekerjaan yang semakin berkembang di negeri ini.
Pelaburan dalam pembangunan kemahiran perlu bergerak seiring dengan usaha memperluas peluang pekerjaan supaya latihan yang diterima dapat dimanfaatkan untuk membina kerjaya dan meningkatkan pendapatan.
Pada masa sama, akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran perlu diberikan perhatian agar anak muda di luar bandar turut mempunyai peluang membina masa depan tanpa dibatasi tempat mereka dilahirkan.
Dalam memastikan pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh, pertumbuhan ekonomi perlu bergerak seiring dengan usaha menjaga alam sekitar dan memelihara warisan yang menjadi sumber kehidupan serta kebanggaan masyarakat.
Dalam kerangka Pelan Perak Sejahtera 2030, pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan, peningkatan pendapatan rakyat dan pemeliharaan alam sekitar perlu dilihat sebagai elemen yang saling melengkapi dalam membina masa depan negeri.
Kejayaan pelan pembangunan itu akhirnya perlu diterjemahkan melalui perubahan yang dapat dirasai rakyat, termasuk peluang pekerjaan yang lebih baik, peningkatan pendapatan keluarga dan pembangunan yang tidak meminggirkan masyarakat luar bandar.
Justeru, memastikan pertumbuhan ekonomi sampai ke pekan kecil dan kampung bukan sekadar matlamat pembangunan wilayah, tetapi sebahagian daripada usaha menjadikan aspirasi Perak Sejahtera 2030 satu realiti yang dapat dinikmati rakyat. -MG Perak


