Keganasan rumah tangga bukan sekadar penderaan fizikal, lelaki turut jadi mangsa

IPOH – Keganasan rumah tangga yang melibatkan penderaan fizikal, seksual, mental, emosi dan kewangan bukan sahaja memberi kesan kepada wanita, malah golongan lelaki turut berdepan risiko menjadi mangsa.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, walaupun jumlah mangsa lelaki tidak ramai berbanding wanita, golongan itu turut berdepan keganasan rumah tangga.

Menurutnya, sebanyak 405 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Perak melibatkan mangsa lelaki dan wanita bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

“Setahu saya, keganasan ini ada beberapa, satunya melibatkan mental, keduanya secara fizikal, keganasan dalam bentuk kewangan. Kalau dari segi fizikal sudah tentu melibatkan fizikal ataupun secara seksual. Itu yang sering kita dengar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Orange Run 2026 sempena Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita Peringkat Negeri Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria.

Keganasan rumah tangga bukan sekadar penderaan fizikal, lelaki turut jadi mangsa
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed ketika melawat reruai pameran pada Program Orange Run 2026 sempena Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita Peringkat Negeri Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 31 OKTOBER 2026.

Beliau berkata, penderaan mental dan emosi juga merupakan satu bentuk keganasan, termasuk perbuatan yang bertujuan menjatuhkan keyakinan diri mangsa.

Selain itu, katanya, kegagalan suami memberikan nafkah kepada isteri turut dikategorikan sebagai keganasan berbentuk kewangan.

Mengulas peningkatan kes yang direkodkan, Salbiah berkata, statistik berkenaan diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala peningkatan itu mungkin menunjukkan masyarakat semakin sedar tentang kepentingan melaporkan kejadian keganasan.

“Memang ada sedikit signifikan dia berlaku peningkatan. Mungkin dengan kempen-kempen yang kita lakukan, masyarakat lebih cakna dan mempunyai kesedaran untuk melaporkan sekiranya berlaku keganasan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengakui masih terdapat mangsa yang takut untuk tampil membuat laporan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar yang menganggap keganasan rumah tangga sebagai aib keluarga.

Katanya, sesetengah wanita yang berkahwin juga bimbang tindakan melaporkan keganasan akan mengancam keselamatan diri dan keluarga, selain menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Keganasan rumah tangga bukan sekadar penderaan fizikal, lelaki turut jadi mangsa
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pemenang pada Program Orange Run 2026 sempena Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita Peringkat Negeri Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 31 OKTOBER 2026.

Justeru, beliau berkata, usaha meningkatkan kesedaran mengenai hak wanita serta saluran bantuan yang tersedia perlu diperluaskan bagi memastikan mangsa mengetahui tindakan yang boleh diambil.

“Kita nak sebar luaskan supaya wanita-wanita tahu hak-hak mereka, dan sekiranya mereka tidak tahu ke mana mereka nak hala tuju, kita ada talian selamat yang biasalah 15999.

“Di bawah kementerian juga kita dah mula ada apa barkod untuk kita imbas, dekat situ ada maklumat-maklumat dan siapa yang kita nak hubungilah,” jelasnya.

Beliau turut menggesa masyarakat supaya lebih peka terhadap kejadian keganasan di sekeliling mereka dan tidak menganggap tindakan membantu mangsa sebagai mencampuri urusan orang lain.

Tambahnya, masyarakat perlu memainkan peranan sebagai ejen kesedaran dengan membantu mangsa serta membuat laporan sekiranya mengetahui berlaku penderaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Keganasan rumah tangga di Perak menurun, 405 kes direkodkan setakat Jun

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI