Keganasan rumah tangga di Perak menurun, 405 kes direkodkan setakat Jun

IPOH – Perak merekodkan penurunan 248 kes keganasan rumah tangga bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini apabila hanya 405 kes direkodkan berbanding 653 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, sebanyak 1,116 kes keganasan rumah tangga direkodkan sepanjang tahun lalu di negeri ini.

Beliau berkata, penurunan kes yang dicatatkan menunjukkan masalah keganasan rumah tangga di Perak berada dalam keadaan terkawal.

“Kalau ikut data yang diberikan sebanyak 1,116 kes pada tahun lepas dan tahun ini untuk Jun 405 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Untuk negeri Perak daripada data berkenaan kita nampak masih agak terkawal dan dengan adanya program-program yang dilakukan agensi kerajaan kita harap keganasan tidak berlaku dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed ketika sidang media pada Hari Terbuka Prismanita dan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) Negeri Perak Tahun 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JULAI 2026.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Hari Terbuka Prismanita dan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) Negeri Perak Tahun 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Salbiah berkata, faktor ekonomi keluarga dikenal pasti antara penyumbang kepada konflik rumah tangga yang direkodkan di Peral.

Beliau berkaya, justeru usaha memperkasakan wanita melalui peningkatan kemahiran dan peluang menjana pendapatan akan terus diperkukuhkan bagi membantu mengurangkan tekanan dalam institusi keluarga.

“Selain aspek ekonomi, pasangan suami isteri juga perlu diperkasakan dengan ilmu keibubapaan dan kemahiran keibubapaan sebelum melangkah ke alam perkahwinan agar lebih bersedia memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed hadir ke Majlis Perasmian Hari Terbuka Prismanita dan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) Negeri Perak Tahun 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JULAI 2026.

“Pelbagai program advokasi, termasuk program keibubapaan dan kekeluargaan, akan terus diperhebat di bawah portfolio berkenaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta membantu membina institusi keluarga yang lebih harmoni,” katanya.

Salbiah turut menegaskan isu keganasan rumah tangga bukanlah sekadar ‘hal dalam kain’ yang harus disembunyikan daripada pandangan masyarakat.

“Jika kita terus memendam rasa dan membiarkan kezaliman ini berselindung di sebalik pintu rumah, ia lambat-laun akan memakan diri dan meruntuhkan masa depan,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI