IPOH – Kerajaan negeri diharap memberi perhatian bagi memperkasa pembangunan usahawan dan peniaga kecil menerusi penyaluran bantuan kewangan secara langsung dan proses permohonan yang lebih mudah menerusi Belanjawan Perak 2027 yang akan dibentang 24 November ini.
Pada masa yang sama, mereka turut mengharapkan penyediaan bantuan peralatan yang bersesuaian bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperbaiki kualiti produk serta membantu mengembangkan perniagaan masing-masing.
Pengasas Humaira Salon Spa and Training Centre, Harisun Kassim, 47, berkata bantuan yang disalurkan kerajaan negeri perlu bagi memastikan golongan usahawan yang benar-benar memerlukan tidak tercicir.

Dia yang memulakan perniagaan pada 2005 tidak pernah menerima bantuan daripada kerajaan negeri mahupun Persekutuan, sebaliknya hanya memperoleh kemudahan pinjaman untuk mengembangkan perniagaan.
Katanya, dia membuka cawangan pertama spa miliknya itu bermodalkan RM25,000 menerusi pinjaman Program PROSPER Siswazah di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
“Seperti yang kita tahu, kerajaan negeri banyak mengeluarkan pelbagai jenis bantuan untuk usahawan sebenarnya, tetapi ada golongan-golongan yang tidak mendapat bantuan termasuk saya. Kalau boleh kerajaan negeri memberikan bantuan berbentuk wang tunai atau dana yang disalurkan terus kepada usahawan.

“Ini supaya kami sendiri sebagai usahawan tahu apa yang kami nak beli dari segi kualiti, jenama dan sebagainya. Ada kalanya, barangan yang diterima tidak menepati jenama dan kualiti yang kami mahukan.
“Selain itu, jika bantuan yang diberikan berjumlah RM5,000, jumlah yang diterima oleh usahawan hanya sekitar RM2,000 hingga RM3,000, manakala bakinya diberikan kepada pembekal. Kalau boleh, biarlah bantuan itu disalurkan terus kepada usahawan,” katanya ketika ditemui di Taman Perpaduan di sini hari ini.
Harisun berkata, kaedah itu secara langsung membolehkan penerima menguruskan peruntukan dengan lebih berkesan, berbanding bantuan berbentuk peralatan yang mungkin tidak menepati keperluan operasi perniagaan.
Pengasas Irfan Gadjet, Muhammad Irfan Azahari, 23, yang mewakili golongan usahawan muda pula berharap kerajaan negeri memperbanyakkan kursus keusahawanan dan bantuan dana bagi membantu mereka yang ingin memulakan serta mengembangkan perniagaan.

Menurutnya, pendedahan menerusi kursus dapat membantu usahawan muda mendapatkan ilmu dan panduan dalam menguruskan perniagaan, manakala bantuan kewangan pula boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan keupayaan operasi kedai.
“Kursus memang dapat membantu usahawan muda yang nak memulakan perniagaan. Dana daripada kerajaan ini memang sangat membantu, antaranya untuk menambah mesin ataupun aksesori di kedai,” jelasnya.
Sementara itu, pemilik Tambun Laksa Famous, Junaidah Johari, 47, berharap Belanjawan Perak 2027 menyediakan lebih banyak bantuan peralatan dan mesin kepada usahawan kecil bagi meningkatkan produktiviti serta menambah baik premis perniagaan.
Dia yang mengusahakan perniagaan itu sejak tiga tahun lalu berkata, bantuan berkenaan dapat membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran produk selain menjadikan premis lebih menarik kepada pelanggan.
“Saya harap kerajaan negeri dapat menyediakan lebih banyak bantuan dari segi peralatan seperti mesin bagi membantu menambah baik produk pengeluaran.
“Kami juga perlu bantuan untuk menambah baik restoran supaya kelihatan lebih ceria, cantik dan mampu menarik pelanggan datang ke premis kami,” ujarnya.

Junaidah berkata, dia sedang menunggu permohonan bantuan mesin bagi memudahkan proses penyediaan rempah yang digunakan dalam masakan di kedai makan miliknya.
Buat masa ini, dia masih menggunakan pengisar biasa untuk memproses cili dan rempah mengikut resipi sendiri, sedangkan penggunaan mesin yang lebih sesuai dapat menghasilkan rempah lebih halus dan meningkatkan kualiti produk.
Tambahnya, permintaan terhadap rempah mentah turut membuka peluang untuk mengembangkan pasaran, namun kekangan peralatan ketika ini menyukarkannya memenuhi permintaan dalam kuantiti lebih banyak.
Junaidah berkata, bantuan peralatan yang bersesuaian bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan operasi, malah membantu usahawan kecil memperbaiki mutu produk dan mengembangkan perniagaan secara berperingkat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2027: Peruntukan pembangunan modal insan OKU wajar ditingkatkan


