IPOH – Warisan adat dan kesenian Melayu seperti berzanji dan marhaban wajar dijadikan antara pengisian dalam pelbagai program bagi menghidupkan semula warisan budaya Melayu Islam, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, usaha memartabatkan warisan berkenaan pula tidak seharusnya bermusim atau terhad kepada bentuk pertandingan semata-mata.
Katanya, sebaliknya ia perlu diterapkan secara berterusan dalam pelbagai aktiviti sama ada di peringkat sekolah mahupun jabatan kerajaan.

“Kalau kita tidak menjaga budaya Melayu ini, ia akhirnya akan seperti berada di pinggiran kubur, orang kambus (dengan tanah) ia hilang).
“Oleh sebab itu kita perlu memastikan warisan ini terus hidup melalui kerjasama institusi agama, jabatan pendidikan dan agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Pertandingan Berzanji dan Marhaban Sekolah Menengah Peringkat Negeri Perak 2026 di Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Meru Raya di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar.

Mohd Annuar berkata, penganjuran aktiviti berzanji dan marhaban perlu diperluas melalui persembahan dalam majlis rasmi, sambutan jabatan serta program keagamaan anjuran agensi kerajaan.
Jelas beliau, usaha itu dilihat dapat mendekatkan golongan muda dengan kesenian tradisional berkenaan, selain memastikan amalan warisan Melayu Islam terus mendapat tempat dalam kehidupan masyarakat.
Mohd Annuar turut mencadangkan agar pertandingan sama boleh diperluas kepada aktiviti pidato dan penulisan esei bertemakan sejarah serta peranan berrzanji dan marhaban, khususnya sempena sambutan Maulidur Rasul atau Maal Hijrah.

“Apabila pelajar sekolah menyertai pertandingan menulis esei, mereka perlu membuat penyelidikan dan guru boleh membantu memberikan bimbingan.
“Melalui usaha ini, ia secara tidak langsung dapat memberi pendedahan dan membantu mereka memperoleh ilmu mengenai warisan kita ini,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, usaha memelihara identiti budaya Melayu juga perlu melangkaui seni persembahan dengan merangkumi adat tradisi lain seperti persilatan dan pembuatan bunga telur yang boleh diperkenalkan kepada pelajar menerusi pelbagai aktiviti.

Pertandingan Berzanji dan Marhaban Sekolah Menengah anjuran MAIPk itu melibatkan penyertaan seramai 108 orang pelajar daripada 12 sekolah dari seluruh negeri.
Wakil dari Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah dari Larut Matang dan Selama diumumkan sebagai johan dengan membawa pulang wang tunai RM5,000 dan piala.
Sementara naib johan dan tempat ketiga masing-masing disandang wakil Maahad Islahiah Addiniah, Manjung yang membawa pulang wang tunai RM3,000 serta, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Tanjung Malim (RM2,000). – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Tanjak bukan sekadar perhiasan, warisan Melayu yang sarat makna


