IPOH – Kerajaan Negeri Perak menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenal pasti sebanyak 50 cerun berisiko berdepan kejadian tanah runtuh susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga awal tahun depan.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 42 cerun telah dipulihkan manakala lapan lagi masih dalam pemantauan kerana dikenal pasti berisiko mengalami kejadian sama.
Menurutnya, kawasan yang dikenal pasti mempunyai cerun berisiko termasuk daerah Kinta, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Batang Padang dan Muallim.
“Pada tahun ini, Perak menerima peruntukan RM38.9 juta untuk kerja-kerja membaiki cerun runtuh di 42 lokasi di seluruh negeri.
“Selain itu, sebanyak RM24.9 juta turut diperuntukkan bagi kerja pencegahan cerun khususnya membabitkan lapan cerun berisiko yang masih dalam pemantauan iaitu dua lokasi di Hulu Perak dan enam lokasi di Batang Padang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut di FT001 Jalan Ipoh – Tanjung Malim, di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian Pengurusan Fasiliti Kementerian Kerja Raya (KKR), Datin Dr Rafidah Dahari dan Timbalan Pengarah Kerja Raya Negeri Perak, Ir Farrid Jamaludin.

Mengulas lanjut mengenai langkah pemantauan sepanjang musim tengkujuh, Mohammad Nizar berkata, JKR bersama syarikat konsesi turut melaksanakan pemeriksaan berkala terhadap cerun, laluan longkang dan infrastruktur berkaitan bagi mengesan sebarang risiko lebih awal.
Katanya, kekerapan pemeriksaan fizikal ditingkatkan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu, termasuk pemeriksaan harian terutama selepas hujan lebat.
“Pemantauan dilakukan secara berkala dan juga penglihatan secara fizikal turut dibuat oleh mereka, kadang-kadang lebih kerap. Musim tengkujuh kalau dulunya kadang-kadang seminggu sekali, sekarang boleh katakan hari-hari.
“Bila ada hujan lebat, maka mereka kena buat lawatan juga. Jadi, kita melakukan pemantauan dan persediaan, supaya ada apa musibah kita dapat tahan secepat mungkin,“ ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan perjalanan yang tidak penting sepanjang musim tengkujuh selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan diperiksa terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.
“Keadaan kenderaan yang baik dapat membantu mengelakkan masalah berpanjangan sekiranya berlaku kejadian tanah runtuh, selain memudahkan usaha JKR dan syarikat konsesi mengeluarkan kenderaan yang terperangkap di kawasan runtuhan,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


