IPOH – Seramai 20 petugas media di Perak berpeluang meninjau lebih dekat penghasilan dan perkembangan industri batik tempatan menerusi lawatan ke Butik Cura Batik di Basco Avenue Kepayang, di sini, hari ini.
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat Strategik MB Inc, Zul Helmi Ghazali berkata, lawatan ringkas ini bertujuan memberi pendedahan kepada petugas media mengenai perkembangan industri kraf negeri, khususnya usaha mengangkat seni batik Perak sebagai produk warisan yang mempunyai nilai komersial.

“MB Inc menerusi pendekatan korporat mengambil langkah memodenkan dan memperkukuh industri kreatif negeri dengan menghubungkan elemen tradisi kepada pasaran komersial bagi memastikan warisan seni tempatan terus berkembang sebagai industri moden dan berdaya saing.
“Antara usaha tersebut termasuk penubuhan Butik Cura Batik, sebuah butik eksklusif yang mengetengahkan jenama premium Batik Perak dengan motif bunga Kelumpang sebagai lambang kebanggaan serta identiti rasmi negeri,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, MB Inc turut memperkenalkan CITA by Cura Batik sebagai subjenama yang menawarkan rekaan Batik Perak dengan sentuhan lebih kontemporari, versatil dan mampu milik bagi menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.

“Usaha berkenaan bukan sahaja bertujuan memartabatkan seni warisan tempatan, malah membuka peluang menjana nilai ekonomi mampan kepada penggiat industri kraf di negeri ini,” ujarnya.
Usaha memperkasakan industri batik negeri turut diperkukuh menerusi pelancaran Batik Perak yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Jumaat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MB Inc lancar Butik Cura Batik, Amanjaya Travels perkasa warisan, pelancongan Perak


