IPOH – Lelaki tempatan yang maut ditembak polis selepas berbalas tembakan di Persiaran Lembah Perpaduan, Tambun di sini, awal pagi Khamis disahkan ketua kumpulan samun bersenjata api yang dipercayai terbabit dalam kira-kira 22 kes pecah sejak tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, suspek berusia 39 tahun itu dipercayai mengetuai kumpulan berkenaan yang menjalankan kegiatan jenayah di sekitar Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.
Katanya, hasil siasatan mendapati kumpulan itu menyasarkan rumah kediaman secara rawak, khususnya yang terletak berhampiran lebuh raya.
“Polis sedang giat mengesan empat lagi suspek yang disyaki terlibat dengan kegiatan samun manakala seorang suspek berjaya ditahan di sekitar Tanjong Malim baru-baru ini.
“Modus operandi kumpulan samun bersenjata ini akan ‘recee’ (membuat pemantauan awal) beberapa kali di kawasan sasaran sebelum bertindak untuk melakukan jenayah samun.
“Ahli kumpulan berkenaan kemudian akan memakai topeng dalam kegiatan mereka bagi mengelakkan mudah dikesan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut Kumar berkata, suspek yang maut itu mempunyai 17 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan samun, pengedaran dadah, pecah rumah serta mendatangkan kecederaan kepada orang lain.
Kata beliau, terdahulu ketika kejadian berbalas tembakan itu, suspek bergerak bersendirian menggunakan sebuah kereta milik isterinya dan dipercayai dalam perjalanan untuk mengumpulkan ahli kumpulan jenayah berkenaan.
Jelas Kumar, ketika polis mendekati kenderaan tersebut, suspek didapati tidak mematuhi arahan sebelum memecut dengan laju dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Pasukan polis terus mengejar kenderaan suspek dan berjaya memintas kenderaan itu dan berlaku sedikit pelanggaran.
“Suspek bertindak melarikan diri dan telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis sehingga polis terpaksa membalas tembakan ke atas suspek,” jelasnya.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan tersebut telah menemukan sepucuk senjata api separa automatik, tiga butir peluru hidup, dan enam kelongsong peluru.
Kata beliau, turut dijumpai tiga bilah parang serta satu paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu dan pelbagai lagi barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan samun.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


