Harimau belang bunuh Orang Asli, serang anggota Perhilitan, ditembak

SUNGAI SIPUT – Seorang anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia diserang seekor harimau belang ketika menjalankan operasi pemantauan  semalam.

Perhilitan dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan, pemantauan itu dilakukan susulan insiden serangan maut haiwan pemangsa itu yang mengorbankan seorang lelaki Orang Asli di Kampung Orang Asli Bawong di sini pada Rabu lalu.

Menurutnya, anggota Perhilitan terbabit terpaksa melepaskan tembakan dari jarak kira-kira 10 meter bagi mempertahankan diri dan mengelakkan ancaman terhadap keselamatan pasukan operasi dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 1.30 pagi semalam itu.

“Tembakan itu mengenai bahagian bahu kanan serta belakang leher harimau belang berkenaan dan melarikan diri sebelum berjaya dijejaki anggota jabatan. Karkas harimau berkenaan ditemukan kira-kira 20 meter dari lokasi serangan.

“Pemeriksaan fizikal awal mendapati taring bawah sebelah kiri harimau itu telah tiada, manakala taring yang masih ada didapati tumpul. Turut ditemukan kesan luka lama pada bahagian kanan perut.

“Karkas haiwan berkenaan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, bagi menjalani pemeriksaan bedah siasat untuk tindakan lanjut,“ katanya.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, Ngah Itam, 65, dipercayai diserang ketika mencari buluh di kawasan hutan kira-kira satu kilometer dari perkampungan Orang Asli Bawong dan 100 meter dari sempadan Hutan Simpan Kekal (HSK) Piah.

Perhilitan menerima aduan berhubung kejadian itu jam 4.10 petang sebelum operasi pencarian bersama polis dan penduduk kampung dijalankan.

Mayat mangsa ditemukan sekitar jam 5.55 petang dengan kesan gigitan pada bahagian tengkuk serta kesan dimakan pada kaki kanan sehingga paras lutut.

Pemeriksaan di lokasi turut menemukan kesan tapak kaki harimau belang, kesan darah dan barangan milik mangsa.

Susulan kejadian itu, Perhilitan melaksanakan kawalan dan pemantauan di kawasan berkenaan termasuk menggunakan dron bagi mengesan kehadiran haiwan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perhilitan memaklumkan dua unit perangkap harimau telah ditempatkan di Pos Perwor dan FELDA Lasah sebelum kejadian terbaharu itu sebagai langkah kawalan susulan serangan harimau terhadap seorang lelaki Orang Asli di Pos Perwor pada 21 September lalu.

“Perhilitan turut mengadakan pertemuan dengan anak mangsa dan sedang menyelaraskan permohonan Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar bagi membantu meringankan beban keluarga.

Selain itu, sesi penerangan dan khidmat nasihat turut diberikan kepada ketua kampung serta penduduk Kampung Orang Asli Bawong mengenai langkah keselamatan bagi mengurangkan risiko pertembungan dengan hidupan liar.

“Penduduk dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan aktiviti bersendirian di kawasan hutan, khususnya pada awal pagi dan lewat petang, serta segera melaporkan sebarang tanda kehadiran Harimau Belang kepada pihak Jabatan Perhilitan,“ ujarnya.

Katanya, Perhilitan akan terus menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk setempat dan anggota yang terlibat dalam operasi lapangan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan hidupan liar boleh menghubungi talian hotline 1-800-88-5151 atau menyalurkan aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi www.wildlife.gov.my,“ katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dua kejadian serangan mungkin libat harimau sama – Perhilitan Perak

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI