IPOH – Kerajaan Negeri Perak sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan kepentingan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang berdepan kekangan kewangan dalam menjelaskan bayaran premium tanah.
Sehubungan itu, pelbagai kemudahan disediakan termasuk permohonan pembayaran premium secara ansuran serta rayuan pengurangan premium bagi membantu meringankan beban golongan yang benar-benar memerlukan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi membantu golongan miskin menjelaskan premium, bayaran secara ansuran boleh dipohon untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri (PBN)
“Permohonan tersebut hendaklah disertakan dengan surat aku janji untuk menjelaskan bayaran dalam tempoh yang munasabah, tertakluk kepada kelulusan PBN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Yang Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, Khamis.
Dalam pada itu, Saarani berkata, bagi melindungi hak dan kepentingan penduduk selain mempercepat urusan pentadbiran tanah, PBN turut meluluskan penurunan kuasa menerusi Warta Kerajaan No. 2341 bertarikh 16 Disember 2021.
Katanya, melalui pewartaan itu, Pentadbir Tanah Daerah diberi kuasa meluluskan atau menolak permohonan pelanjutan tempoh pajakan bagi Hakmilik Pajakan Mukim kategori kediaman dengan keluasan sehingga dua 0.8 hektar.
“Pengarah Tanah dan Galian Perak pula diberi kuasa meluluskan permohonan bagi Hakmilik Pajakan Negeri kategori kediaman sehingga keluasan lapan hektar.
“Permohonan dalam skop tersebut boleh diputuskan di peringkat pentadbiran tanah tanpa perlu dibawa secara individu ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sebarang kelulusan tetap tertakluk kepada Kaedah-Kaedah Tanah Perak 1966 dan ketetapan Pihak Berkuasa Negeri. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak perkasa pasaran hartanah, perluas peluang pemilikan rumah


