Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan suram – Sultan Perak

IPOH – Agama Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan bagaikan warna suram serta nama yang lompong tanpa pengisian yang bermakna.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, justeru umat Islam bertanggungjawab mewarnakan Islam yang bergemerlapan dan mengisi Islam dengan kandungan yang meyakinkan.

Titah baginda, usaha dan program pembangunan insan harus diberikan fokus kerana kejayaan meningkatkan syiar Islam bergantung kepada tahap kejayaan ummah.

“Islam tidak wujud dalam vakum, tetapi wujud melalui dukungan para penganut yang menerima atau memilih Islam sebagai agama.

“Jurang besar yang dihadapi oleh masyarakat Islam ketika ini ialah penganut yang besar daripada segi angka, berbanding penganut yang benar-benar memahami, menghayati dan mengamalkan Islam.

“Imej Islam dan gambaran masyarakat dunia terhadap Islam dipengaruhi oleh tahap pencapaian dan status kejayaan umat Islam.

“Islam akan lebih dihormati, dan Islam akan terus dimuliakan jika majoriti penganut Islam terdiri daripada ummah yang memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai bidang,” titah baginda.

Baginda bertitah ketika berangkat ke Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri di Kompleks Islam Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah, agar MAIPk dapat menjadi badan bertindak dan kumpulan kerja yang aktif dalam menggerakkan pelbagai program yang bertujuan meningkatkan syiar Islam.

Baginda juga bertitah untuk badan itu dapat memperkayakan modal sosial dan modal budaya ummah melalui pelbagai aktiviti, serta inovasi yang berupaya menarik lebih ramai golongan remaja mengimarahkan masjid.

“MAIPk tidak seharusnya membatasi peranan sebagai badan dengan imej yang berorientasikan isu tetapi hendaklah menjadi sebuah badan bertindak yang berupaya menghijrahkan pemikiran dan menghijrahkan budaya ummah menjadi lebih dinamik, dan progresif.

“Mengikuti isu-isu utama semasa, begitu juga bacaan terhadap cabaran-cabaran yang sedang dihadapi, juga memahami sumber kewangan dan sumber manusia yang terhad, Beta berpendirian adalah penting untuk MAIPk mewujudkan rangkaian strategik.

“Ia agar MAIPK berupaya berperanan lebih bermakna, dalam hasrat dan usaha, memenuhi tugas-tugas fardu kifayah untuk memajukan ummah dan meningkatkan syiar Islam,” titah Baginda lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

DUN Perak lulus RUU Wasiat Orang Islam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI