JIM tumpas sindiket pelacuran warga asing serendah RM200

IPOH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), berjaya menumpaskan sindiket pelacuran yang aktif mempromosi wanita warga asing dengan bayaran RM200 sehingga RM1,000 melalui media sosial sejak setahun.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, pihaknya turut menahan 141 warga asing termasuk 10 warga tempatan dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.

Menurut beliau, ke semua mereka di tahan dalam satu operasi khas yang dijalankan pada Jumaat malam di lima lokasi melibatkan dua premis pusat pelacuran dan tiga premis pusat hiburan KTV di Perak.

Ujar beliau operasi dijalankan berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama sebulan dan berdasarkan maklumat yang diperolehi pasukan operasi telah diatur gerak ke lima premis.

“Hasilnya kita berjaya menahan 117 wanita warga asing terdiri daripada 52 wanita warganegara China, 41 warganegara Vietnam, 21 warganegara Thailand, dua warganegara Indonesia dan seorang warganegara Laos.

“Kita juga turut menahan 14 lelaki warga asing melibatkan lapan lelaki warganegara Bangladesh, empat warganegara Myanmar, seorang warganegara Indonesia dan seorang stateless.

“Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 18 hingga 36 tahun,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena operasi berkenaan di Pejabat JIM Perak, di Meru, di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, 10 warga tempatan terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita berusia 35 hingga 44 tahun dipercayai bertindak sebagai penjaga premis turut ditahan JIM dalam serbuan berkenaan.

JIM tumpas sindiket pelacuran warga asing serendah RM200
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha, ketika sidang media di Ipoh. Foto, ihsan JIM.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dua premis yang diserbu menggunakan modus operandi dengan melakukan promosi wanita warga asing dengan menggunakan foto-foto mereka melalui aplikasi Telegram dan Whats App.

Jelas beliau, wanita warga asing yang dipilih akan diuruskan oleh lelaki tempatan yang dipercayai sebagai penjaga premis sebelum pelanggan ke bilik yang disediakan dengan bayaran antara RM200 hingga RM500 dan untuk ‘outcall girl’ antara RM800 hingga RM1,000.

“Sementara itu, tiga lagi premis menggunakan modus operandi menyediakan perkhidmatan pelayan wanita warga asing dan mensasarkan kepada pelanggan tetap sahaja dengan membuat tempahan melalui panggilan telefon.

“Untuk tempahan bilik, pelanggan dikenakan bayaran antara RM800 hingga RM10,000 mengikut kategori bilik manakala untuk tempahan wanita warga asing dikenakan bayaran RM150 bagi satu jam,” katanya.

Jafri berkata, ke semua warganegara asing ditahan JIM kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan dibawa ke Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ipoh, Perak untuk tindakan lanjut.

“Manakala tujuh lelaki dan tiga wanita warganegara Malaysia turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

“Selain itu kita juga memberi notis untuk hadir ke pejabat JIM bagi membantu siasatan ke atas 69 lelaki warganegara Malaysia, dua lelaki warganegara Bangladesh dan seorang wanita tempatan,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis tahan 30 pelacur warga asing dalam serbuan tiga premis

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI