Parit: Pendaftaran pengguna sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Perak masih rendah iaitu hanya sekitar 5.7 peratus setakat Rabu, kata Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Perak, Mohd Ridauddin Masud.
Menurut beliau, dianggarkan lebih 107,000 daripada 1.8 juta rakyat berusia 19 tahun ke atas di Perak yang mendaftar dan selesai mengemaskini maklumat peribadi dalam sistem PADU sejak dilancarkan 2 Januari lalu.
Ujar beliau, DOSM Perak akan menggandakan usaha melibatkan program pendaftaran beramai-ramai di kesemua 70 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) seluruh Perak bagi memastikan sasaran 100 peratus berdaftar sebelum 31 Mac depan dapat dicapai.
“DOSM Perak bekerjasama dengan pejabat penghulu di setiap daerah seperti hari ini dengan anggota kita digerakkan ke PEDi untuk membantu melicinkan pendaftaran masyarakat.
Artikel Berkaitan:
MGPerak: Perak Sasar 1.8 Juta Penduduk Daftar PADU
Perak sasar 1.8 juta penduduk daftar PADU
“Terdapat 70 PEDi di seluruh Perak, jadi memang anggota kita akan hadir secara berjadual bagi memudahkan urusan pendaftaran pengguna khususnya warga emas dan di kawasan luar bandar,” katanya pada Program Bersepadu Madani dan Pendaftaran PADU di PEDi Bota Kiri, di sini, pada Khamis.
Program berkenaan dianjurkan oleh DOSM Perak bersama Pejabat Penghulu Bota dengan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah.
Sementara itu, Khairudin berkata penganjuran program pendaftaran sistem PADU secara beramai-ramai itu adalah pendekatan terbaik bagi memastikan tiada kelompok rakyat yang tercicir daripada mendapat bantuan atau subsidi selayaknya.
Terdahulu, PADU yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dibangunkan menerusi kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), selain dibantu pelbagai pihak di peringkat negeri. -MG Perak