KUALA LUMPUR – Program Akademi Dalam Industri (ADI) di bawah seliaan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menawarkan cabang pendidikan dan kemahiran yang tidak ditawarkan di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) atau kolej kemahiran.
Itu antara keistimewaan yang dikongsikan Pengarah Urusan, Afil Adjusters & Investigators Sdn. Bhd., Dr Rodziah Ahmad, iaitu antara majikan yang menyediakan platform di syarikatnya kepada perintis ADI.
Menjelaskan lebih lanjut, Rodziah berkata, beliau mula menerima dua perantis ADI di syarikatnya tahun lalu, yang menjurus kepada kepakaran dalam bidang kursus Operasi Penilaian Kerosakan dan Baik Pulih Kenderaan Bermotor.
Menurutnya, menurut program itu, kedua-dua perantis itu didedahkan dengan kemahiran bagi penilaian dan dokumentasi tuntutan insurans kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.
“Ramai yang tidak faham berkenaan tuntutan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, mereka beranggapan pihak insurans akan tanggung atau selesaikan semua.
“Tetapi, proses tuntutan itu perlu melalui prosedur atau protokol tertentu termasuk penilaian daripada ejen bertauliah, yang sebenarnya tidak ramai terlibat dalam sektor pekerjaan ini.
“Jadi, di sinilah peranan kami iaitu melatih dan melahirkan lebih ramai penilai dalam bidang ini dan platform ADI mempermudahkan lagi usaha kami ke arah itu,” katanya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

Tambah Rodziah, menariknya menerusi platform ADI itu, para perantis didedahkan secara terus kepada realiti dalam dunia pekerjaan, bukannya sekadar menuntut ilmu di dalam bilik kuliah.
Malah, katanya, apa yang dipelajari serta pengalaman yang diperoleh perantis ADI di syarikatnya tidak boleh didapati di mana-mana IPT atau kolej kemahiran kerana kursus Operasi Penilaian Kerosakan dan Baik Pulih Kenderaan Bermotor tidak ditawarkan di institusi terbabit.
“Paling utama, industri penilaian bagi tuntutan insuran kemalangan ini sebenarnya sangat besar, kita ada kira-kira 56 buah syarikat dan setiap bengkel memerlukan sekurang-kurangnya seorang penilai.
“Jadi keperluan kepada penilai ini dalam industri sangat tinggi dan saya harap lebih ramai dapat dilahirkan termasuk menerusi program perantis ADI ini,” katanya.
Sementara itu, berkongsi kelebihan sama, syarikat Kyosei Seimitsu Manufacturing Sdn. Bhd. turut menyifatkan program ADI-MPC membantu syarikat itu membangunkan tenaga kerja yang lebih mahir, kompeten dan berdaya saing.
Pengarah Urusannya, Mervyn Ambrose berkata, menerusi program itu, syarikatnya menyediakan platform kepada perantis ADI menjalani latihan berstruktur selama 18 bulan sebelum mereka dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang kejuruteraan mesin dan teknologi industri.

“Pada masa sama, program ini memberi peluang kepada pekerja untuk memperoleh kelayakan yang diiktiraf sambil menimba pengalaman kerja sebenar, sekali gus meningkatkan keyakinan diri, peluang pembangunan kerjaya serta pencapaian dalam diri mereka,” katanya.
Sementara itu, ditanya berkenaan aspek penambahbaikan program ADI-MPC pada masa depan, Mervyn berkata, aspek yang boleh dipertingkatkan ialah kadar pengekalan peserta sepanjang tempoh program selama 18 bulan.
Menurutnya, walaupun insentif yang disediakan amat dihargai, namun terdapat peserta yang memilih untuk menarik diri sebelum menamatkan program.
Ujarnya, keadaan itu amat merugikan mereka kerana kehilangan peluang untuk memperoleh SKM Tahap 3, manakala masa dan usaha yang telah dilaburkan oleh syarikat serta MPC tidak mencapai hasil yang dihasratkan.
“Pelaksanaan inisiatif tambahan yang memberi tumpuan kepada pengekalan dan penglibatan peserta boleh membantu menggalakkan mereka untuk terus komited sehingga berjaya menamatkan program,” katanya. – MalaysiaGazette



