Anak penoreh getah tular berjaya sambung pengajian di UPSI

TANJUNG MALIM – Anak penoreh getah yang tular di media sosial baru-baru ini akibat kekangan kewangan untuk menyambung pengajian mendapat perhatian Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Prihatin atas nasib yang menimpa Nurul Hazwanie Badeli dari Kampung Tok Pelanduk, Pasir Mas, Kelantan, UPSI memilihnya sebagai penerima bagi Skim Bantuan Pendaftaran Pengajian Semester Satu yang ditawarkan Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS UPSI).

Pengarah WEZAS, Profesor Madya Dr Mohd Abdul Nasir berkata, Nurul Hazwanie adalah salah seorang dari 93 pelajar yang menerima skim bantuan pendaftaran pelajar baru bagi kemasukan semester satu sesi 2024/25.

Menurutnya, pelajar-pelajar yang terpilih untuk menerima bantuan itu adalah dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“WEZAS dengan kerjasama pihak Bendahari, Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) membuat saringan data pendaftaran pelajar baru bagi mengenalpasti pelajar yang memerlukan bantuan.

“Satu pautan khas kemudiannnya disediakan dalam portal pendaftaran untuk dilayari bagi pelajar mengisi maklumat yang diperlukan, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan data tersebut, pihak WEZAS akan membuat lawatan sosial ke rumah-rumah pelajar yang memerlukan bantuan bagi membuat tinjauan dan saringan kelayakan.

Anak penoreh getah tular berjaya sambung pengajian di UPSI
Wakil JHEPA UPSI ke rumah Nurul Hazwanie di Kampung Pondok, Pasir Mas selepas kisahnya tular di media sosial. Foto Ihsan Universiti Pendidikan Sultan Idris

“Pada waktu yang sama, kami turut mengambil kira maklumat yang diberikan oleh orang awam yang telah menghubungi pihak WEZAS.

“Pelajar yang menerima skim ini dibahagikan kepada dua bentuk bantuan iaitu kategori kritikal melibatkan 36 pelajar yang akan menerima bantuan sebanyak RM3,000 manakala bagi kategori separa kritikal, seramai 57 pelajar diberikan bantuan sebanyak RM1,500.

“Ini menjadikan sebanyak RM193,500 diperuntukkan untuk skim bantuan tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), UPSI sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan pelajar.

“Ini bagi memastikan proses pendafaran kemasukan ke UPSI berjalan lancar dan isu-isu berkaitan kewangan bagi pendaftaran dapat diselesaikan.

“Pada masa sama, seluruh kemudahan di universiti digerakkan termasuk menyediakan kolej kediaman bagi penginapan ibu bapa yang datang dan juga pengangkutan pelajar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke UPSI membabitkan pelajar dari Sabah dan Sarawak,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

UPSI Sports Bowl dibuka kepada awam

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI