IPOH – Seorang pekerja restoran di kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan merogol remaja perempuan bawah umur sehingga melahirkan anak, pada tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Al-Fierus Syarkawie Mohd Khamis, 24, mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut kertas pertuduhan, anak sulung daripada dua beradik itu didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Rumah Pangsa Jalan Hospital, dalam daerah Kinta, sekitar ham 5.15 petang, pada 1 September 2023.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin, memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM22,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan.
Kata beliau, syarat tambahan tersebut adalah tertuduh tidak mendekati atau mengganggu mangsa sepanjang prosiding berlangsung di samping perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan.
Beliau berkata, jumlah jaminan lebih tinggi dipohon kerana kes berkenaan pernah disebut di mahkamah sama pada 11 Jun 2025, namun tertuduh gagal hadir sehingga waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
Pada masa sama, Nor Arfahanim turut memberitahu mahkamah bahawa tertuduh mengenali mangsa melalui atas talian sebelum bertemu secara bersemuka.
“Hubungan mereka kemudiannya berkembang sehingga mereka mempunyai seorang anak bersama, manakala ibu mangsa mengetahui perkara itu selepas anak perempuannya memaklumkan bahawa dia hamil,” jelasnya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuanya memohon agar mahkamah meringankan wang jaminan atas alasan memperoleh pendapatan RM1,800 sebulan dan tinggal bersama bapa selepas ibunya bercerai.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin serta dia perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sehingga kes selesai.
Tarikh 2 Disember ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


