Buruh binaan didakwa rogol, lakukan amang seksual anak tiri

IPOH – Seorang pekerja buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Jumaat atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri sejak tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 44 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak atas kesemua pertuduhan yang dijalankan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun yang mana hubungan tertuduh dengan mangsa tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 8 pagi dalam sebuah bilik tidur di Tualang Sekah, Malim Nawar dalam daerah Kampar, pada Jun 2025.

Dia didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan dikenakan tidak kurang dari 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut dituduh melakukan amang seksual fizikal dengan maksud seksual terhadap kanak-kanak sama yang ketika itu berusia 16 tahun, lebih kurang jam 7 pagi, di lokasi sama, pada 10 September 2026.

Pendakwaan kesalahan itu dibuat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama bersama Seksyen 16 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin, sementara tertuduh diwakili peguam, Aliff Aiman Rusli.

Nor Arfahanim tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana menyifatkan kesalahan yang dilakukan serius selain mengambil kira hubungan tertuduh dengan mangsa.

Bagaimanapun Nor Arfahanim berkata, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau menawarkan kepada tertuduh ikat jamin sebanyak RM25,000 secara kolektif terhadap kedua-dua pertuduhan.

Aliff Aiman kemudian memohon mahkamah menawarkan jaminan setimpal kepada anak guamnya kerana tertuduh menanggung isteri, dan tiga anak masing-masing berusia 10,16 dan 19 tahun dengan pendapatan RM50 ke RM100 sehari.

Kata beliau, mangsa juga telah tinggal bersama keluarga kandung di Ipoh sementara tertuduh menetap di Malim Nawar.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM9,000 dengan dua orang penjamin di samping dikenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Tertuduh juga tidak dibenarkan untuk mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang kes berlangsung, sementara 2 Disember ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MG PERAK

 

 

Artikel Berkaitan:

Guru wanita mengaku tak bersalah atas tiga pertuduhan amang seksual pelajar lelaki

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI