MINAT mendalam seorang remaja autisme terhadap kuda sejak berusia sembilan tahun akhirnya membuka jalan kepada perkembangan positif dalam kehidupannya apabila aktiviti berkuda yang pada awalnya sekadar terapi, kini menjadi antara rutin yang paling digemarinya.
Aryan Rayqal Abadi Mohamad Shaiful Rizal atau lebih mesra disapa Rayqal, gemar menonton video berkaitan kuda di YouTube dan mampu menghafal nama-nama haiwan itu, khususnya kuda dari Indonesia sejak kecil, sehingga menjadikan minat berkenaan sebagai sebahagian daripada dunia hariannya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusing berusia 14 tahun itu turut menyimpan hasrat untuk menjadi professional horse jumper di dalam dan luar negara.
“Saya minat kuda, bila naik kuda rasa tenang dan gembira. Tak susah naik kuda, Rayqal boleh buat. Walaupun pernah terjatuh dan cedera semasa berlatih, Rayqal masih bersemangat untuk naik kuda.

“Banyak yang Rayqal belajar semasa latihan menunggang kuda antaranya trot, canter, city trot dan prizing trot. Jurulatih semua baik dan sehari saya akan berlatih lebih kurang sejam.
“Mummy, Daddy, family (keluarga) support (sokong), suka nak tengok Rayqal berjaya,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Papan Roses Horse Park, ditemani bapa, Mohamad Shaiful Rizal Mohamad Saed, 41, dan ibunya, Siti Nur Syahuda Abdul Karim, 40, di sini baru-baru ini.
Dari terapi ke kelas menunggang sebenar
Menyedari aktiviti berkuda merupakan antara terapi yang baik untuk kanak-kanak autisme, keluarganya mengambil keputusan menghantarnya mengikuti kelas terapi berkuda yang ditawarkan di Papan Roses Horse Park di sini pada tahun 2023.
Pada awalnya, hasrat mereka hanya untuk membolehkan Rayqal untuk membina hubungan dan keserasian dengan kuda.
Bagaimanapun, aktiviti itu memberi kesan yang lebih besar apabila dia semakin tenang, aktif dan menunjukkan perkembangan positif sehingga mula melibatkan diri secara serius dalam sukan berkuda.

Mohamad Shaiful Rizal berkata, ketika mengikuti kelas terapi berkuda, jurulatih anak sulungnya itu mengesan potensi yang dimiliki dan mencadangkan supaya dia mengikuti kelas menunggang kuda sebenar.
Menurutnya, sejak menyertai kelas tersebut, anaknya menunjukkan perkembangan sangat memberangsangkan malah terdapat beberapa kemahiran yang mampu dilakukan lebih baik berbanding individu normal.
Malah, beliau berkata, anaknya kelihatan tenang setiap kali berinteraksi dengan kuda-kuda kesayangannya iaitu Saloma, Alpha dan Benita setiap kali menjalani latihan berkuda.
“Pada peringkat awal, jurulatih menghadapi pelbagai cabaran, terutamanya untuk memahami cara berkomunikasi ketika memberikan arahan kerana Rayqal tidak faham pada mulanya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih yang ada di sini kerana mereka berjaya memahami Rayqal sehingga dia mampu meningkatkan kemampuannya.
“Sebagai ibu bapa, kami sedar bahawa peluang anak autisme untuk berjaya dalam bidang akademik agak terhad.
“Oleh itu, apabila melihat kebolehan dan minatnya yang mendalam, saya bertekad untuk mendorongnya menjadikan bidang ini sebagai satu kerjaya apabila dia dewasa kelak,” katanya yang memaklumkan anaknya didiagnos mengalami autisme tahap ringan pada usia tujuh tahun.
Tantrum semakin berkurang, ingin sertai horse jumping
Mohamad Shaiful Rizal berkata, penglibatan dalam aktiviti berkuda turut membawa perubahan positif terhadap emosi dan tingkah laku Rayqal yang sebelum ini mudah mengalami tantrum serta terlalu terikat dengan rutin harian tertentu.
“Sejak terlibat dengan aktiviti berkuda, kekerapan tantrumnya sudah banyak berkurang. Sekarang, jika dia mula berasa hendak marah, kami hanya perlu menyebut tentang kelas kuda.

“Emosinya akan berubah serta-merta menjadi gembira dan akan mula menunjukkan tanda-tanda teruja (seperti pergerakan tangan atau flapping). Fokusnya juga semakin meningkat.
“Sekarang, pada usia 14 tahun, dia sendiri menyatakan minat untuk menyertai horse jumping serta bercita-cita menjadi seorang horse jumper dan kami akan terus menyokong minatnya itu,” ujarnya.
Pilih sukan berkuda demi masa depan
Mengulas mengenai kos yang perlu ditanggung, beliau mengakui sukan berkuda khususnya acara melompat memerlukan perbelanjaan yang tinggi, namun tetap berusaha memenuhi minat anaknya demi masa depan yang lebih baik.
“Secara jujurnya, sukan berkuda ini, terutamanya acara melompat, bukanlah kategori sukan orang kaya tetapi sudah ke tahap ‘sukan bangsawan’. Kami hanyalah orang biasa, bukan orang kaya.
“Namun, saya tidak mempunyai pilihan, peluangnya dalam akademik tipis, jadi saya melihat ini sebagai jalan untuk masa depannya. Mana tahu suatu hari nanti dia boleh menjadi jurulatih kepada kanak-kanak autisme yang lain pula.
“Saya akan terus berusaha demi anak yang saya sangat sayangi ini, walaupun kosnya sangat tinggi dan mencabar bagi saya,” jelasnya yang memaklumkan anaknya itu akan mengikuti kelas horse jumping di Pusat Latihan Ekuestrian Kelab Lumba Kuda Perak.
Rayqal tunjuk peningkatan sepanjang 3 tahun
Jurulatih, Muhammad Akmal Arsyad Mohd Rosli, 22, berkata, pada mulanya Rayqal hanya mengikuti pakej khas untuk autisme sebelum menunjukkan peningkatan sedikit demi sedikit sehingga dipindahkan ke kelas menunggang.
“Untuk permulaan, memang agak susah sedikit sebab tubuhnya dahulu kurang kuat, bahasa badannya kurang seimbang, dan kefahamannya juga agak terhad ketika itu namun, kita lakukan secara perlahan-lahan.

“Selepas kita nampak dia ada peningkatan sedikit demi sedikit, kita mengubahnya untuk masuk ke kelas menunggang,” katanya.
Menurutnya, Rayqal mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh sekiranya terus mengekalkan disiplin dan konsisten dalam latihan.
“Ayahnya ada menyatakan untuk memasukkannya ke dalam bidang jumping yang lebih susah dan berisiko yang tinggi, tapi kalau Rayqal boleh faham dengan betul, berinteraksi baik dengan jurulatih lain nanti, inshaAllah dia akan boleh pergi lebih jauh,” ujarnya.
Harap Rayqal dapat jadi wakil negeri
Mengimbas pengalaman sepanjang melatih Rayqal, Muhammad Akmal berkata, antara perkara yang paling diingatinya ialah tabiat pelatih itu yang sering mengulangi setiap arahan yang diberikan ketika sesi latihan.

Tambahnya, perubahan yang ditunjukkan Rayqal membuktikan bahawa kesabaran dan pendekatan yang sesuai mampu membantu pelatih berkeperluan khas menyesuaikan diri dengan latihan yang diberikan, sekali gus meningkatkan tahap interaksi serta pemahaman mereka terhadap arahan jurulatih
“Kami berharap Rayqal tidak berhenti separuh jalan. Diharapkan mak ayah dapat memberikan lebih sokongan terhadap minatnya. Mungkin diaboleh pergi lebih jauh lagi, seperti mewakili negeri dan sebagainya. InshaAllah, kita doakan yang terbaik,” katanya.
3 jurulatih berpengalaman, 26 ekor kuda
Sementara itu, Pengarah Papan Roses Horse Park, Myra Nabilla Muzliza Muzaffar Syah, 31, berkata, premis tersebut mula beroperasi sejak tahun 2022 menempatkan 26 ekor kuda iaitu 23 ekor kuda dewasa dan tiga ekor kuda tempatan iaitu kuda yang dilahirkan di lokasi tersebut.
Beliau berkata, terdapat tiga orang jurulatih yang berpengalaman dalam membimbing dan melatih penunggang kuda.

“Kalau orang luar nak belajar menunggang kuda, tiada masalah. Kami memang aktif di platform media sosial seperti di TikTok dan Instagram. Kalau di TikTok itu memang kami letakkan nombor dan boleh hubungi terus untuk buat tempahan pada tarikh atau masa yang ditetapkan.
“Seperti Rayqal, ayahnya menghubungi suami kerana berminat untuk menghantar anaknya menyertai kelas menunggang kuda. Saya sangat kagum dengan potensi Rayqal seorang anak istimewa sepanjang dia belajar menunggang kuda.
“Ketika tengok dia belajar, ada masanya kuda itu tersadung, dia tidak panik dan dia tidak jatuh pun. Pada saya, Rayqal memang sangat bagus dan dia boleh pergi jauh,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


