Ban terputus antara punca banjir termenung di Hilir Perak

TELUK INTAN – Ban terputus di kawasan Batu 9 dan Batu 10 dekat Changkat Jong antara punca berlakunya banjir termenung di sekitar daerah Hilir Perak sejak 23 Oktober lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata setakat ini kerajaan pusat telah meluluskan RM10 juta untuk membina ban di kawasan berkenaan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Memang ada RM10 juta peruntukan yang telah diluluskan kerajaan pusat dan kita sedang membina ban tersebut.

“Bagaimanapun, pada waktu yang sama ada lagi ban yang terputus, yang kita buat RM10 juta tu bajet yang kita buat sebelum ban terputus.

“Jadi, kalau kita laksanakan yang RM10 juta ini kita hanya dapat membina ban mengikut spesifikasi yang ditetapkan tapi masih ada ban yang terputus. Itulah yang menyebabkan air masih berterusan masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Chikus di sini pada Rabu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama mangsa manjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Chikus, Langkap. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 15 NOVEMBER 2023.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Dalam pada itu, Saarani berkata kerajaan negeri sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak untuk memohon peruntukan tambahan kerja-kerja pembinaan ban baharu dapat dibina, selain menyambung semula ban yang terputus.

“Air ini dia ada lubang sikit pun masuk. Itulah yang akan menjadikan banjir dan susah untuk keluar. Itu menjadikan banjir termenung terus berlaku pada jangka masa yang panjang,” jelasnya.

Mengulas lanjut berhubung cadangan untuk memindahkan mangsa banjir yang terjejas ke kawasan baharu, beliau berkata terdapat beberapa kekangan untuk melaksanakan perkara tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk memberi sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Chikus, Langkap. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 15 NOVEMBER 2023.

“Memang ada cadangan untuk mencari tapak baru bagi penempatan mereka (mangsa banjir) tetapi masalah yang pertama adalah kita perlu cari tapak yang sesuai jauh daripada sungai dan jauh daripada ruang untuk banjir.

“Masalah yang kedua ialah orang yang berkenaan (mangsa banjir) kena ada wang untuk membina balik rumah tersebut.

“Banyak yang kita rancangkan tapi belum tercapai kerana kos untuk membina rumah baru ini agak tinggi.

“Tanah kita boleh cari dan kalau dapat maknanya mereka perlu ada wang untuk bayar premium RM500 saja, tapi kos untuk bina rumah dan infra biasanya tanah yang kita jumpa jauh daripada jalan raya, jadi infra nak sampai ke kawasan perumahan baharu tersebut agak mahal,” jelasnya.

Bagaimanpun, beliau berkata setakat ini kerajaan negeri telah memindahkan 15 buah keluarga yang terjejas banjir di Lorong Mesra Batu 7 ½ di sini ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Laksamana di sini sejak enam bulan lalu.

Terdahulu, Saarani melawat dua Dewan Serbaguna Padang Tembak dan Dewan Serbaguna Chikus di Hilir Perak serta menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM300 termasuk sedikit barangan keperluan kepada mangsa yang terlibat. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI