Banjir Perak: 217 mangsa dicatatkan di 3 daerah

IPOH – Jumlah mangsa banjir di Perak menurun kepada 217 mangsa daripada 62 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS), melibatkan tiga daerah setakat jam 8 pagi Rabu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan, di Hilir Perak masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi melibatkan 109 mangsa daripada 32 buah keluarga.

Menurutnya, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus di Hilir Perak melibatkan 19 mangsa daripada lima buah keluarga.

“Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak pula adalah seramai 23 orang membabitkan empat keluarga manakala PPS SK Alor Pongsu di Kerian mencatatkan 57 orang dengan 19 buah keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada pagi Rabu.

Katanya, bagi PPS Dewan Orang Ramai (Majlis Bandaraya Ipoh) Taman Meru 2A di Kinta seramai sembilan mangsa ditempatkan di situ melibatkan dua buah keluarga.

“PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta pula tidak menempatkan sebarang mangsa namun masih belum ditutup,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan hanya paras Sungai Bidor di Changkat Jong sahaja yang berada pada tahap bahaya dengan mencatat ketinggian 3.55 meter (m) sementara Sungai Kinta di Wier Tanjung Tualang mencatatkan aras waspada iaitu 13.51 m.

Sementara itu, Sekretariat turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama sudah dibuka kepada semua kenderaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan di kawasan tersebut.

“Orang ramai masih boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan – Kampung Masjid,” ujarnya.

Katanya, laluan FT 147 Jalan Selama di Kerian masih ditutup kepada semua kenderaan kerana paras air semakin meningkat dan orang ramai diarahkan untuk menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

“Bagi laluan FT 1152 Felda Trolak Selatan di Batang Padang, hanya satu lorong dibuka untuk kenderaan ringan sahaja disebabkan keadaan bahu jalan yang runtuh.

“Manakala laluan A 129 Jalan Langkap – Air Hitam di Hilir Perak, satu papan tanda amaran sementara dipasang dan pengguna boleh menggunakan jalan alternatif di FT 058,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, bagi laluan FT 001 Jalan Ipoh – Tanjung Malim hanya satu lorong dibuka untuk semua kenderaan. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

‘Banjir Kampung Sri Kinta terburuk sejak 40 tahun’

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI