IPOH – Situasi banjir di Negeri Perak menunjukkan perkembangan baik apabila satu pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup dan angka mangsa yang dipindahkan menurun, pada Selasa.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, PPS di SK Matang di Daerah Taiping ditutup pada jam 2 petang selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Katanya, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, di Hilir Perak pula menurun daripada 91 kepada 76 mangsa setakat jam 6 petang.
“Secara keseluruhan, mangsa yang ditempatkan di tiga PPS di dua daerah yang masih aktif adalah 200 orang berbanding 215 sebelum petang tadi.
“Angka mereka yang ditempatkan di PPS di Kerian masih kekal iaitu 71 mangsa daripada 20 keluarga di SK Changkat Lobak.
“Sementara 53 mangsa daripada 16 keluarga di masih ditempatkan di PPS di SK Parit Haji Aman Bagan Serai,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu ujarnya, Jabatan Meteorologi (METMalaysia) meramalkan Larut Matang Selama dan Kerian mengalami hujan pada sebelah malam.
Katanya lagi, sementara Hilir Perak diramalkan mengalami cuaca baik sebelah malam.
Selain itu, ujarnya Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan FT147 Jalan Bagan Serai – Changkat Lobak di Kerian ditutup kerana berlaku tanah runtuh.
“Justeru penduduk di kawasan yang terlibat dan kawasan sekitar dinasihatkan supaya berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan.
“Pemantauan dari semasa ke semasa sedang
dilakukan JKR Daerah dan syarikat konsesi Jalan Persekutuan.
“Dan oleh itu, jalan alternatif A111 Alor Pongsu – Bukit Merah dibuka kepada semua kenderaan berat kerana paras air pada 0.58 meter,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: