Belanjawan Perak: JAIPk utamakan baik pulih masjid, surau daif

IPOH – Peruntukan bagi tujuan baik pulih dan bina baru masjid serta surau berjumlah RM15 juta dalam Belanjawan Perak 2024 akan diberi keutamaan kepada rumah ibadat umat Islam yang daif.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abd. Halim berkata, JAIPk sedang meneliti masjid dan surau seluruh negeri yang benar-benar layak menerima peruntukan berkenaan.

Harith Fadzilah berkata, JAIPk turut menggalakkan masjid dan surau yang memperoleh kutipan derma melebihi RM100,000 agar memberi laluan kepada rumah ibadat Islam yang benar-benar memerlukan peruntukan baik pulih.

Beliau berkata, terdapat sebanyak 707 buah masjid dan lebih 2,000 buah surau di Perak yang sentiasa memerlukan penyelenggaraan dan baik pulih.

“Memang terdapat masjid-masjid dan surau yang terlampau daif selain kutipan Jumaatnya hanya ratusan ringgit sahaja dan saya rasa itulah yang lebih baik diutamakan untuk baik pulih.

“Manakala masjid yang kutipan Jumaat yang menjangkau ratusan ribu ringgit sebulan bolehlah memberi ruang kepada yang memerlukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Anak Yatim anjuran Kolej Antarabangsa TAJ (TIC) di Dewan TT TIC, di sini pada Isnin.

Ditanya mengenai peruntukan Belanjawan Perak 2024 berjumlah hampir RM76 juta, beliau berkata, ia merupakan jumlah yang besar dan membuktikan bahawa kerajaan negeri melihat kepentingan pengurusan agama terutamanya masjid dan surau.

“Alhamdulillah kita berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak yang telah memperuntukkan sejumlah besar bajet khususnya kepada pengurusan JAIPk.

“Peruntukan ini melibatkan pengurusan yang banyak seperti sekolah agama rakyat, sekolah pondok serta tahfiz di mana ada banyak tanggungan yang perlu kita selesaikan dan ia akan diturunkan kepada yang sepatutnya menerima peruntukan itu,” katanya.

Terdahulu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam Belanjawan Perak 2024 mengumumkan RM95.7 juta bagi pengoperasian JAIPk dalam usaha memartabatkan syiar Islam dan pembangunan ummah terus diperkasakan di negeri ini.

Saarani berkata, daripada jumlah itu RM7.2 juta pula diperuntukkan untuk membangunkan beberapa projek di bawah Belanja Pembangunan JAIPk.

Antara projek yang dijalankan adalah menyelenggara enam buah masjid utama di negeri ini termasuk bangunan, lif dan eskalator Masjid Toh Puan Hatijah, Batu Gajah serta membaik pulih Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2024: RM95.7 juta bagi pengoperasian JAIPk

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI