IPOH – Penganjuran pesta buku terbesar Big Bad Wolf Book Sale 2026 di Pasar Raya AEON BiG Falim di sini, bukan sekadar acara membeli-belah bahan bacaan, malah ia mampu menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Suhaimi Abu Hassan Shari berkata, sektor pelancongan di negeri ini tidak hanya tertumpu kepada keindahan alam semula jadi dan warisan sejarah semata-mata, sebaliknya turut merangkumi elemen budaya, intelektual serta pengalaman komuniti yang lebih luas.
Katanya, penganjuran acara seperti itu juga mampu merancakkan ekonomi setempat menerusi kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negeri sepanjang tempoh 11 hari penganjuran.
“Kita menjangkakan ribuan peminat buku, keluarga dan pelancong dari seluruh Perak serta negeri-negeri berhampiran akan membanjiri Ipoh.
“Aliran pengunjung yang ini bukan sahaja mengisi ruang acara, malah memberi manfaat secara langsung kepada ekonomi tempatan, merangsang aktiviti perniagaan, menyokong sektor peruncitan, dan seterusnya menonjolkan Ipoh sebagai hab aktiviti yang dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Big Bad Wolf Book Sale Ipoh 2026 di di AEON BIG Falim, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Penolong Pengarah Kanan Unit Bahasa di Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Dr. Raman Nusi serta Pengurus Kanan Penajaan, Kerjasama Strategik dan Perhubungan Awam Big Bad Wolf Books (Big Bad Wolf) Sdn Bhd, Chloe Lim Sooi Yee.
Pada masa sama, Suhaimi berkata, impak penganjuran acara berkenaan bukan sekadar terhad kepada aspek ekonomi dan pelancongan semata-mata, sebaliknya turut menjadi platform penting dalam memperkukuh gerakan literasi masyarakat.
“Ini adalah masa terbaik untuk anak-anak menikmati pengalaman tanpa skrin dan kembali kepada dunia pembacaan.
“Dan di sinilah mereka boleh menemui cerita baharu yang mampu mencetuskan rasa ingin tahu dan meluaskan perspektif mereka,” katanya lagi.
Big Bad Wolf Book Sale 2026 yang berlangsung selama 11 hari bermula 3 Julai di AEON BIG Falim itu menawarkan potongan harga bahan bacaan sehingga 90 peratus di samping pengunjung berpeluang memenangi hadiah utama cabutan bertuah berupa bar emas. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pengunjung Big Bad Wolf Ipoh berpeluang menang bar emas 10 gram


