KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan mengadakan taklimat khas bagi membincangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), Isnin ini.
Ia sempena Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membentang dan membahaskan laporan RCI Mengenai TH, pada Rabu, 11 Ogos depan.
Berdasarkan surat dikeluarkan Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, taklimat bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dijadualkan berlangsung pada jam 5 petang di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Surat berkenaan turut diedarkan kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan Naib Pengerusi BN iaitu Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Tan Sri SA Vigneswaran, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan Datuk Dr Loga Bala Mohan.
Ia juga melibatkan Ahli Dewan Negara serta Ahli Dewan Rakyat daripada BN.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Laporan RCI Tabung Haji dan menetapkan Sidang Khas Parlimen pada 11 Ogos depan bagi membahaskan dapatan laporan berkenaan.
Tegas beliau, kerajaan akan mendedahkan keseluruhan laporan RCI berhubung pengurusan TH tanpa menyorok atau memotong mana-mana bahagian, termasuk nama individu yang terbabit.
Anwar turut berkata, Kabinet sudah membuat keputusan supaya keseluruhan laporan itu diterbitkan bersama syor serta proses yang berlaku sepanjang tempoh siasatan
Laporan RCI TH sebelum ini mendedahkan keadaan kewangan TH berada pada tahap kritikal pada 2017 apabila kerugian institusi berkenaan meningkat sehingga RM10 bilion, menyebabkan kerajaan mengambil langkah pemulihan. – MalaysiaGazette


